“Ain, Bapa Saman Semula Guru, KPM Berhubung Isu Jenaka R#gol”- Peguam | Pelajar, Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab, yang disaman guru yang terbabit dalam isu gurauan keterlaluan berkaitan perbuatan merogol dilaporkan akan memfailkan tuntutan balas, menurut peguam yang mewakili mereka.
Peguam, Datuk Sankara Nair, berkata Menteri Pendidikan, Pengarah Pendidikan Selangor dan pengetua sekolah terbabit akan turut dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan berkenaan kerana kecuaian melindungi kebajikan serta hak pelajar berkenaan.
Jelas beliau, arahan telah diperoleh daripada Saiful Nizam untuk membuat tuntutan itu selepas melihat keadaan anaknya menghadapi kemurungan dalam konteks sengaja mencetuskan tekanan emosi (IIED), susulan kes itu yang dianggap sebagai satu gangguan seksual.
Beliau menyifatkan bahawa akibat daripada mendapat berita disaman guru tersebut, Ain Husniza mengalami gangguan emosi lebih teruk.
Maka, tuntutan balas mengikut proses ditetapkan dan ia merupakan amalan biasa mengikut undang-undang.
Tambah beliau, mereka telah menamakan beberapa defendan dalam tuntutan itu yang dilihat gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam melindungi pelajar terbabit.
Sebelumnya, media melaporkan guru, Khairul Nizam Sanuddin, 43, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Rasshidi Ema & Yung pada 26 November lalu dengan menamakan Ain Husniza, 17, dan bapanya, Saiful Nizam, 42, sebagai defendan.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, tuntutan saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen Shah Alam, Nur Syuhada Abdullah, esok.
Menurut penyataan tuntutan difailkan, Khairul Nizam yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA) menyentuh sub-topik ‘Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual’, pada 24 April lalu.
Sub topik itu terkandung di bawah tajuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).
Khairul Nizam yang mengajar selama 21 tahun di sekolah itu, menyatakan sepanjang proses pembelajaran itu, semua pelajar wajib membawa dan merujuk kepada buku teks PJK Tingkatan 5.
Guru berkenaan menafikan membuat lawak lucah atau lawak berkenaan rogol sepanjang sesi pembelajaran PJK itu serta tiada galakan kepada perlakuan rogol, malah ia adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran semata-mata untuk pemahaman serta pengajaran.
Sumber: Berita Harian