Ajar Cara Proses Dadah Dengan Bayaran RM5,000 | Seorang lelaki yang merupakan seorang pemproses dadah turut mengambil upah mengajar cara-cara untuk memproses dadah melalui panggilan video di aplikasi whatsapp dengan bayaran sebanyak RM5,000.

Ajar Cara Proses Dadah Dengan Bayaran RM5,000

Lelaki berusia 56 tahun ini telah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Setapak, di sini, pada 17 Mei lalu.. Serbuan itu telah berjaya membongkar segala aktiviti haramnya selama ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kegiatan itu terbongkar susulan penahanan seorang wanita dan seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah di taman permainan di Bandar Baru Sentul, di sini, pada 16 Mei lalu.

Pemeriksaan dilakukan terhadap kedua-dua orang suspek yang berusia 30-an itu dan pihak polis berjaya menemukan methaphetamin seberat 51.80 gram dan ganja seberat tiga gram. Berpandukan arah daripada suspek lelaki terbabit, pihak polis telah membuat serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul yang menemukan methaphetamin seberat 150 gram.

hasil soal siasat dilakukan terhadap dua suspek berkenaan membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah, Puchong, Selangor, pada 17 Mei lalu. Tiga lelaki dan tiga perempuan telah ditahan dalam serbuan itu, semua tahanan merupakan dari dua buah keluarga antara 30 hingga 65 tahun. Polis telah merampas dadah jenis methaphetamin seberat 370 gram dalam serbuan itu.

Pemeriksaan lanjut juga menemukan bahan kimia yang dipercayai bahan utama bagi memproses methaphetamin seperti Acetone, Methanol, Hydrogen Peroxide serta perkakasan rod kaca, alat penitis, corong turas berkaca, alat penimbang dan alat pemanas elektrik.

Pihak polis telah membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Setapak dan menahan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kemahiran untuk memproses dadah. Hasil maklumat diperolehi daripada suspek berkenaan membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah di Jalan Gombak, Selangor selain merampas bahan kimia serta perkakasan yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis methaphetamin.

Suspek itu mengambil upah sebanyak RM5,000 bagi setiap sesi pengajaran untuk memproses dadah yang dilakukan melalui panggilan video. Suspek dikatakan belajar cara untuk memproses dadah melalui media sosial dan memprosesnya sendiri di rumah sewanya yang terletak di Jalan Gombak serta telah aktif sejak tahun 2019.

Semua rampasan dadah dalam semua serbuan berkenaan dianggarkan bernilai RM57,330 dan ia boleh dibekalkan kepada 1,422 penagih.  Lapan daripada sembilan suspek yang ditahan mempunyai rekod berkaitan dadah, manakala suspek yang mengajar cara-cara memproses dadah berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod.

Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 18 Mei lalu hingga semalam dan disambung semula hingga 28 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply