Akhirnya Identiti Wanita Ini Dikenal Pasti.

| July 21, 2020 | 0 Comments

Akhirnya Identiti Wanita Ini Dikenal Pasti. | Identiti wanita memakai gelang pengesanan kuarantin COVID-19, ketika makan di sebuah medan selera dan viral menerusi media sosial sejak semalam, sudah dikenal pasti.

Siasatan terhadap wanita terbabit berhubung tindakannya itu sedang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud, berkata beliau masih menunggu maklumat lanjut daripada JKNP.

“Kita (kerajaan negeri) tidak akan berdiam diri, memandangkan ia mempunyai kebarangkalian merebak (jika individu terbabit disahkan positif).

“Saya masih (perlu) menunggu pengesahan rasmi daripada pihak yang terbabit iaitu JKNP serta polis dan semestinya kita mahukan jawapan secepat mungkin (untuk tindakan susulan),” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau operasi pemindahan gajah liar di Kampung Jalong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff.

Ahmad Saidi menasihatkan orang-ramai yang merasakan pernah berkunjung ke medan selera yang dimaksudkan seperti maklumat viral itu mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk menjalani ujian calitan, selain kuarantin diri sendiri sekiranya bergejala.

“Semua pihak berkaitan termasuk pemilik premis akan turut dipanggil bagi melihat tindakan yang sewajarnya kepada mereka (selepas maklumat disahkan).

“Setakat ini saya tidak mahu dedahkan maklumat sedia ada (yang belum disahkan) biarpun sebahagiannya sudah dikenal pasti bagi, mengelakkan kegusaran masyarakat,” katanya.

Terdahulu, gambar wanita terbabit viral di media sosial selepas dikatakan sedang menikmati hidangan di sebuah medan selera yang difahamkan terletak di Bandar Meru Raya, di sini, dalam keadaan memakai gelang kuarantin COVID-19 sekali gus menimbulkan kegusaran serta kecaman warganet.

Sumber : BH ONLINE

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *