Akibat Curi Telefon RM600, Pemuda Didenda RM6,000 | JELEBU – Seorang pemuda didenda RM6,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah mencuri sebuah telefon bimbit bernilai RM600, bulan lepas.

Tertuduh, Muhammad Hakimi Hiqbal Mohd Shafie, 21, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah mencuri sebuah telefon bimbit jenama Honor 20 Lite milik seorang individu berumur 36 tahun yang dianggarkan bernilai RM600.

Perbuatan itu dilakukan pada 28 Mei lepas di sebuah salun rambut di Kuala Klwang di sini antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: SINAR HARIAN

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Polis Cekup Lelaki ‘Bertelekung’ Mencuri Di Masjid 

Lelaki yang tular mengenakan telekung ketika menceroboh ruang solat dan mencuri barang milik jemaah wanita di masjid sekitar Seksyen 18 di sini, ditahan polis tengah malam tadi.

Polis Cekup Lelaki 'Bertelekung' Mencuri Di Masjid 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata tangkapan suspek lelaki tempatan berumur 20-an itu dibuat susulan laporan diterima daripada mangsa.

Beliau berkata, pada kejadian Selasa lalu, polis menerima dua laporan mengenai kecurian barangan milik jemaah wanita ketika menunaikan solat di masjid sekitar Seksyen 18, pada 20 Disember lalu.

“Kejadian pertama dilaporkan pada jam 3.41 petang oleh pengadu wanita berumur 60 tahun yang menunaikan solat subuh di Masjid Al-Azahariah, Seksyen 18, Shah Alam.

“Selesai menunaikan solat, pengadu mendapati beg miliknya yang mengandungi kunci rumah, kunci stor masjid dan sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone X hilang dengan anggaran kerugian sebanyak RM2,000.

“Sementara, kes kedua dilaporkan pada jam 10.47 malam oleh pengadu wanita berumur 58 tahun yang menunaikan solat isyak di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18.

“Selesai menunaikan solat, pengadu mendapati beg tangan miliknya yang mengandungi sebuah telefon bimbit jenama Samsung model Z Flip 3 hilang dengan anggaran kerugian RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua tempat kejadian mendapati suspek adalah individu sama.

“Suspek berpakaian baju hitam/hijau dan berseluar jeans, menggunakan modus operandi sama iaitu memakai telekung warna putih untuk masuk ke ruang jemaah wanita, seterusnya mengambil barang berharga ketika jemaah sedang solat.

“Kira-kira jam 12.05 tengah malam (23 Disember) polis berjaya menangkap suspek yang berasal dari Padang Jawa di kawasan Seksyen 18.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui dan merampas dua buah telefon bimbit yang dicuri ketika kejadian. Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati orang kena tuduh (OKT) mempunyai satu rekod kes penyalahgunaan dadah dan empat rekod kes jenayah.

“OKT ditahan reman selama empat hari dari bermula hari ini sehingga 26 Disember untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 43 saat di media sosial yang memaparkan rakaman CCTV seorang lelaki memasuki ruang solat wanita di sebuah masjid bagi tujuan mencuri barangan milik jemaah yang sedang menunaikan solat.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply