Kelmarin, kanak-kanak lelaki tujuh tahun cedera pada tangan dan kaki akibat diserang seekor kera di halaman rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang.
Berlaku sekitar 6.55 petang, ketika Muhammad Umar Ziyad Zaharudin sedang berjalan pulang dari rumah ibu saudaranya yang terletak bersebelahan rumahnya.
Berkata ibunya, Suzilawati Ismail, 39, dia dan anaknya berada di rumah sebelah iaitu rumah saudara mereka.
Namun, Umar meminta izin pulang lebih awal sebelum tiba-tiba kedengaran jeritan anaknya.
“Saya berlari turun dari rumah kakak dan melihat seekor kera sedang memaut betis Umar yang terloncat-loncat cuba melepaskan gigitan binatang terbabit sambil meraung kesakitan.
“Suami saya yang berada di rumah segera keluar membantu Umar sebelum kera terbabit melarikan diri,” katanya.
Akibat itu, tangan dan kaki Umar berlumuran darah dengan kesan koyak akibat gigitan yang agak besar dan dalam.
“Saya segera membalut luka pada tangan dan kaki Umar menggunakan kain sebelum suami membawanya ke Hospital Dungun.
“Umar bagaimanapun dihantar ke Hospital Kemaman berikutan luka koyakannya dalam sehingga paras tulang.
“Umar terpaksa menjalani pembedahan bagi mencantumkan semula kulit dan isi kakinya yang koyak itu,” katanya.
Suzilawati berkata, kera terbabit milik penduduk di kampung yang sama dan ia dikatakan melarikan diri selepas terlepas daripada ikatan.
“Umar sepatutnya memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abang namun terpaksa menangguhkan pembelajarannya.
“Biarpun lukanya agak serius, saya bersyukur dia selamat,” katanya yang mengesahkan sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Dungun.