Akibat Langgar Lampu Merah, Lelaki MAUT Dilanggar. | ALOR GAJAH – Seorang maut, manakala tiga sekeluarga termasuk bayi cedera selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di Durian Tunggal, di sini semalam.

Keadaan motosikal ditunggangi mangsa selepas terlibat dalam nahas di Durian Tunggal, Melaka, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, penunggang motosikal, Mohd. Hafis Abu Bakar, 34, maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Turut cedera dalam nahas adalah pasangan suami isteri yang berusia 34 tahun dan bayi lelaki mereka berusia sembilan bulan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku apabila si mati yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R telah membelok ketika lampu isyarat berwarna merah.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Krubong menghala ke Batu Berendam dan di persimpangan lampu isyarat, mangsa dipercayai telah membelok ketika lampu merah.

“Dia bagaimanapun telah dirempuh sebuah kereta Honda City yang dinaiki tiga beranak dari arah Ayer Keroh ke Krubong yang meneruskan perjalanan ketika lampu hijau,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit maut di tempat kejadian, manakala tiga beranak yang mengalami kecederaan ringan dirawat di zon hijau Hospital Melaka.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER : Kosmo!

Share.

Leave A Reply