Akibat Mabuk, Lelaki Ini Serah Kad Bank Ketika Ditahan

| June 6, 2020 | 0 Comments

Akibat Mabuk, Lelaki Ini Serah Kad Bank Ketika Ditahan | Akibat mabuk, seorang lelaki tempatan menyerahkan kad bank apabila diminta menyerahkan kad pengenalan diri dan lesen kenderaan.

Dia adalah salah seorang yang ditahan dalam pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam tengah malam tadi.

Lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol dari Puchong menghala ke Klang.

Turut ditahan adalah sepasang kekasih yang mendakwa mahu bersiar-siar dan lepak di Dataran Shah Alam namun niatnya terbantut apabila ditahan dalam pemeriksaan SJR itu.

Pemeriksaan polis mendapati lelaki yang berumur 20 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan itu tiada lesen memandu dan tidak mempamerkan cukai jalan, manakala kekasihnya tidak bekerja.

Selain itu, polis turut memeriksa dua wanita berumur 20 an yang mengaku dilahirkan di Malaysia namun tiada sijil kelahiran dan tiada kad pengenalan.

Ketika ditahan untuk pemeriksaan, mereka juga mengakui keluar sekadar untuk bersiar-siar di sekitar Pusat Bandar Shah Alam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, operasi SJR itu adalah sebahagian elemen penugasan Op Lejang Khas Bersepadu Peringkat IPD Shah Alam yang bermula pagi semalam.

“Operasi bersepadu ini membabitkan semua bahagian, balai dan pasukan khas dalam IPD Shah Alam seperti trafik, narkotik, jenayah, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk membendung kecurian kenderaan dalam daerah Shah Alam.

“Bagi bulan Mei, sebanyak 156 kes kecurian kenderaan dilaporkan malah kebanyakan kes yang menyumbang kepada kejadian jenayah di Shah Alam adalah kecurian motosikal.

“Antara kejayaan dalam operasi ini adalah tangkapan tiga suspek warga tempatan pagi tadi mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan di mana dalam tangkapan di Ken Rimba, Seksyen 16 itu polis turut merampas tujuh motosikal curi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika meninjau operasi SJR selama empat jam bermula jam 10 malam tadi dan berakhir jam 2 pagi tadi di Dataran Shah Alam, di sini.

Ramsay berkata, dalam operasi semalam sehingga pagi tadi, seramai 30 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk suspek kes curi motosikal dan lelaki yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Dalam operasi bersepadu ini, polis melakukan pemeriksaan ke atas 484 individu diperiksa, 373 kenderaan dan 28 premis dan sebanyak 124 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Suspek yang memandu di bawah pengaruh alkohol itu ditahan mengikut Seksyen 45(a)(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ” katanya.

Beliau berkata, seramai 20 warga tempatan termasuk tiga wanita ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dalam operasi bersepadu itu.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1983 dan Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Sementara itu katanya, Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD) pula menahan empat warga tempatan termasuk seorang wanita mengikut Seksyen 12(2) ADB.

Katanya, polis turut menahan dua suspek lelaki warga tempatan yang dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(A)ADB 1952.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *