Aktif Curi Susu Formula, Suami Isteri Dijel 12 Bulan | MELAKA – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku mencuri 20 kotak susu formula bernilai lebih RM6,000 di sebuah pasar raya pada Februari lalu.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Azlee Ibrahim, 39, dan isterinya, Noor Bayah Ab. Manaf, 31, yang membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 5 petang hingga pukul 7.45 malam di Pasar Raya Aeon Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Februari 2023.
Sabit kesalahan, pasangan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan bukan disebabkan kesempitan hidup.
Difahamkan, tertuduh juga mempunyai rekod kes sama dan bergerak aktif di beberapa negeri dengan menjual susu berkenaan kepada pelanggannya.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malik yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman penjara berjalan dari tarikh ditangkap iaitu 16 Februari 2023, selain memaklumkan anak guamnya itu mempunyai empat anak, manakala Noor Bayah kini sedang hamil tiga bulan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah bersetuju menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap bagi setiap tertuduh.
Sumber: KOSMO
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Lelaki ‘Bertelekung’ Mencuri Di Masjid Mengaku Bersalah
Seorang lelaki yang bertelekung untuk mencuri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri telefon bimbit milik dua jemaah wanita di dua masjid di Seksyen 18, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman bagi menunggu laporan sosial berikutan tertuduh adalah pesalah muda.
Mengikut dua kertas pertuduhan, Mohamad Amirul Shafiq yang juga jurujual didakwa melakukan curi dalam bangunan dengan mencuri telefon bimbit milik dua wanita warga emas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua masjid di Seksyen 18 iaitu Masjid Al-Azhariah pada jam 6.25 pagi dan Masjid Al-Hidayah pada jam 8.50 malam, pada 20 Disember lalu.
Justeru, dia melakukan kesalahan Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memohon penetapan tarikh bagi mengemukakan laporan sosial tertuduh yang masih muda.
Pihak pendakwaan juga menawarkan ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.
Mohamad Amirul Shafiq yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan pengurangan kos jaminan.
Majistret kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Januari depan bagi pendengaran laporan sosial tertuduh.
Sumber: BH