“Aktiviti Pembalakan Di Kedah Terpaksa Diteruskan”- Sanusi | Berikutan isu pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Kerajaan negeri Kedah terpaksa memberikan kebenaran bagi aktiviti pembalakan di kawasan terbabit kepada syarikat pembalakan bagi mengelakkan implikasi undang-undang.

"Aktiviti Pembalakan Di Kedah Terpaksa Diteruskan"- Sanusi

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, kerajaan negeri hanya meneruskan aktiviti pembalakan yang telah dikeluarkan lesen pembalakan sebelum ini.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada syarikat yang sudah membayar premium sekiranya ingin membatalkan kelulusan kerja-kerja pembalakan tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu keputusan kerajaan negeri untuk meneruskan aktiviti pembalakan di Ulu Muda tertakluk kepada beberapa syarat termasuklah pembukaan pembalakan tahunan berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan.

Jelasnya, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 RMK12), Majlis Tanah Negara menetapkan catuan dihadkan kepada 4,200 hektar setahun serta jumlah kelulusan seluruh Kedah yang diluluskan kerajaan sebelum ini adalah sebanyak 75,000 hektar termasuklah 25,000 hektar melibatkan kawasan Ulu Muda.

Tambahnya lagi, dengan catuan tebangan 4,200 hektar setahun, tempoh diperlukan untuk menebang semua pokok yang diluluskan melibatkan 75,000 hektar hanya akan habis 18 tahun lagi.

Muhammad Sanusi turut menjelaskan, ada syarikat konsesi yang telah membayar premium sebanyak 100 peratus, 75 peratus dan ada bayar 25 peratus justeru, sekiranya konsesi yang telah diluluskan ini dibatalkan maka kerajaan negeri perlu membayar semula premium ataupun terpaksa berdepan dengan tindakan mahkamah.

Mengulas lanjut mengenai hal berikut, aktiviti pembalakan di Ulu Muda dijalankan dengan kaedah mesra alam sekitar dengan penggunaan mesin ataupun jentera pengusahasilan sistem ‘log fisher’ sepertimana diperkenalkan di Pahang.

Kerajaan negeri juga dilaporkan telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 seperti pembangunan projek berimpak tinggi dan perbandaran baharu yang lestari dan mampan yang akan memberi impak positif khususnya peluang pekerjaan.

Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui kutipan hasil cukai tanah dan cukai pintu dengan wujudnya kawasan industri serta perbandaran baharu di negeri ini tanpa bergantung kepada hasil aktiviti pembalakan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply