Alami Tekanan, Duda Tembak Kepala Sendiri

| July 26, 2020 | 0 Comments

Alami Tekanan, Duda Tembak Kepala Sendiri | Seorang duda dipercayai membunuh diri selepas menembak kepalanya dengan sepucuk pistol di bilik air sebuah rumah teres di Taman Seri Maklom dekat Butterworth, pagi hari ini.

Mangsa berusia 30 tahun itu ditemui bapanya tidak sedarkan diri dan berlumuran darah pada 5.30 pagi sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati ada lubang pada sebelah kiri kepala mangsa dipercayai kesan tembakan.

“Bapa mangsa memaklumkan bahawa dia bangun pada 3.30 pagi untuk ke tandas dan masuk memeriksa anak bongsunya di biliknya namun dia tiada di katil sebelum tidur semula tanpa mengesyaki apa-apa.

“Ketika bapa mangsa bangun semula pada 5.30 pagi, dia hairan anaknya masih tidak ada di biliknya lalu membuat pemeriksaan hingga ke bilik air kedua rumah terbabit di tingkat bawah.

“Anaknya itu ditemui di bilik air berkenaan dan sudah tidak sedarkan diri serta berlumuran darah,” katanya selepas melakukan pemeriksaan ke atas rumah berkenaan, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang sudah berpisah dengan isterinya dan tidak mempunyai anak dikatakan pernah dibawa ibu bapanya ke India pada 2017 untuk rawatan psikiatri.

“Perkara ini dimaklumkan ibu mangsa ketika temu bual yang dijalankan yang mana pakar psikiatri merawatnya ketika itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

“Mangsa pula hanya menerima rawatan sekali sahaja dan tiada rawatan susulan selepas itu.

“Semakan yang dibuat mangsa turut mempunyai tiga rekod jenayah narkotik dan tinggal bersama ibu bapanya kerana tidak bekerja,” katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung jenis pistol yang digunakan dan bagaimana senjata api itu berada bersama mangsa.

Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut manakala memiliki senjata api disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Sumber : HMetro

Tags: , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *