Anak Kandung Didera Ibu Sampai Mati Kerana Selalu Menangis | TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia disyaki didera ibu kandungnya sehingga mati kerana selalu menangis.

Kejadian itu disedari selepas kanak-kanak terbabit dihantar ke sebuah hospital swasta di sini oleh ibunya berusia 33 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan alasan kononnya mengalami sesak nafas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, doktor yang menerima mangsa ketika itu mengesahkan bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan luka di bahagian keliling hidung, dagu, telinga dan belakang kepala.

“Terdapat juga kesan luka besar pada lengan kanan, jari kelingking dan telunjuk tangan kiri serta terdapat kesan luka koyakkan pada celah jari telunjuk dan jari hantu kiri.

“Pemeriksaan juga mengesan kesan gigitan berdekatan bahu lengan kiri, kesan parut sebelah kiri kaki, lebam bawah lutut kiri, lebam di belikat kanan dan beberapa lebam di seluruh belakang badan mangsa,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata, polis yang menerima makluman kejadian itu telah menahan ibu kandung mangsa ketika wanita itu hadir menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan pada hari sama sekitar jam 5 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati, wanita terbabit memperlakukan mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu akibat tertekan kerana mangsa sering menangis.

“Daripada keterangan diberikan, wanita itu baru saja mengambil semula anaknya itu untuk dijaga pada Jun tahun lalu selepas diletakkan di bawah jagaan pengasuh sejak dua tahun lalu.

“Mangsa yang sentiasa menangis dan tidak selesa dengan ibu kandungnya menyebabkan wanita itu bertindak mendera hingga berlaku kematiannya,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, wanita itu direman selama tujuh hari sehingga Khamis bagi siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Awani

Share.

Leave A Reply