REMBAU – Keluarga penunggang motosikal yang maut akibat dihempap pokok tumbang di Sungai Gadut di sini pada Ahad lalu bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang.

Dalam kejadian itu, Muhammad Ikram Mohd. Yazid, 21, yang akan menamatkan latihan amali di sebuah kilang di Sendayan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi. Pembonceng yang juga bapa saudaranya, Ammar Zarif Junaidi, 18, pula cedera.

Bapa arwah, Mohd. Yazid Mohd. Nor, 57, berkata, setakat ini, mereka sekeluarga masih belum mengambil sebarang tindakan undang-undang, namun akan berbuat demikian sebagai pengajaran kepada pihak yang terlibat.

“Nyawa manusia bukan boleh dibuat main-main. Kali ini anak saya yang terkorban, jadi saya tidak mahu ada keluarga lain berdepan pengalaman sama.

“Walaupun saya tahu di kawasan itu sudah dilaksanakan kerja-kerja penebangan pokok, namun masih banyak pokok yang berisiko tidak ditebang.

“Walaupun sedih dan kesal dengan kejadian itu, namun kami reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Peri­gi Jernih, di sini semalam.

Sementara itu, Ammar memberitahu, dia masih teringatkan detik-detik cemas kejadian kemalangan yang mengorbankan anak saudaranya.

“Selepas dihempap pokok tumbang, saya lihat anak saudara terbaring berlumuran darah. Berulang kali saya panggil nama Ikram, namun panggilan tidak bersahut.

“Tidak lama kemudian de­ngan dibantu Anggota Pertahanan Awam Malaysia, saya dapat keluar dari bawah pokok tumbang. Ketika itu kami dalam perjalanan ke Seremban,” katanya.

Dalam pada itu, datuk Ammar, Md. Rathi Ahmad, 75, berkata, adalah wajar pihak bertanggungjawab memantau keadaan pokok di tepi jalan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutamanya membabitkan kehilangan nyawa.

“Paling bimbang pada waktu malam atau angin kuat. Walaupun ada lampu, cahayanya kurang disebabkan terlindung pokok. Kita harap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian seperti ini berulang lagi,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, sebatang pokok tumbang lalu menghempap sebuah motosikal yang sedang bergerak. Kedua-dua mang­sa terperosok di bawah pokok dan penunggangnya disahkan mening­gal dunia di lokasi.

Sumber: Kosmo
Baca Juga: Lelaki Maut Bertembung Motosikal Lain Ketika Elak Pokok Tumbang | Tindakan seorang lelaki mengelak pokok tumbang mengakibatkan motosikal ditunggangnya bertembung sebuah motosikal lain di Kilometer 16, Jalan Pengkalan Hulu-Gerik, Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Kejadian mengorbankan penunggang motosikal jenis Honda Wave, Mohamad Shah Abd. Hamid, 45, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Seorang lagi mangsa lelaki berusia 22 tahun yang penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC parah dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan membabitkan dua buah motosikal itu pada pukul 7.45 pagi.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Klian Intan telah masuk ke laluan bertentangan bagi mengelak pokok tumbang yang melintang di laluannya.

“Sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang datang dari arah bertentangan tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki cedera parah di kepala dan kini berada di Zon Merah Hospital Baling,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kemalangan berlaku ketika hujan dan motosikal kedua-dua mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply