Anak Tumbuk Ayah Hanya Kerana Kain Buruk.

| June 28, 2020 | 0 Comments

Anak Tumbuk Ayah Hanya Kerana Kain Buruk. | Penganggur tergamak menumbuk dahi bapanya hanya disebabkan tidak dapat mencari kain buruk yang dikehendakinya di sebuah rumah dekat Pengkalan Bongor, Kepala Batas, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, lelaki berusia 37 tahun berkenaan bertanyakan kepada bapanya berusia 73 tahun mengenai kain buruk miliknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bapa lelaki itu memaklumkan dia tidak tahu namun suspek memaki hamun dan menuduh semua orang di dalam rumah menyembunyikan kain buruk berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, suspek bertindak agresif apabila menumbuk dahi bapanya hingga warga emas itu hampir jatuh dan mengalami pening kepala.

“Suspek juga mengugut bahawa dia akan memukul mangsa sekiranya membuat laporan polis sebelum keluar meninggalkan rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu turut disaksikan isteri mangsa dan mangsa terus membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya.

Noorzainy berkata, polis sudah menahan suspek sebaik dia pulang ke rumahnya beberapa jam selepas insiden berlaku.

“Hasil semakan suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah.

“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *