Anggota Polis Maut Kejar Penjenayah. Kereta Suspek Sudah Ditemui Polis

| November 1, 2020 | 0 Comments

Anggota Polis Maut Kejar Penjenayah. Kereta Suspek Sudah Ditemui Polis | Polis Johor sudah menjumpai kereta Perodua Myvi dinaiki dua lelaki yang melarikan diri daripada ditahan polis sehingga menyebabkan seorang anggota polis maut dan pemandu kereta peronda MPV Polis parah dalam kejadian di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kereta Perodua Myvi berwarna ungu dipercayai digunakan suspek ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Pandan di sini kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

“Kenderaan telah dikenal pasti, kita jumpa tujuh kilometer dari tempat kejadian, kita dalam usaha mengesan suspek.

“Difahamkan kereta ini disewa atas sewa oleh seorang wanita, kita akan kenal pasti dalam masa terdekat suspek yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat di Balai Polis Bandar Dato’ Onn di sini sebentar tadi.

Ayob Khan berkata, pasukan forensik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan analisa ke atas kereta terbabit selain polis turut menemui beberapa peralatan penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam penyalahgunaan dadah atau pengedaran dadah sehingga menyebabkan mereka melarikan diri.

“Kita percaya suspek masih berada di negeri ini dan bersembunyi. Dia nak lari ke mana kita akan dapat kesan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, maut selepas cedera parah pada bahagian kepala.

Ketika kejadian, mangsa sedang bertugas dengan menaiki kereta peronda MPV Polis mengejar kereta suspek sebelum bergesel dan terbalik sebelum dilanggar Perodua Aruz.

Kemalangan itu turut menyebabkan, pemandu MPV Polis, Lans Koperal Mohd. Khairul Musa, 32, cedera parah.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *