Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan retak pada tempurung kepala dan luka bahagian dahi akibat ditetak seorang suspek dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging lewat malam kelmarin.

Kejadian berlaku pada pukul 12.15 malam itu ketika mangsa berusia 29 tahun dikatakan bersama seorang lagi anggota Balai Polis Bandar Baru, Ayer Itam di sini sedang melakukan ronda cegah jenayah di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kejadian berlaku semasa anggota berkenaan bertindak mengekori suspek seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sejauh kira-kira 150 meter.

Menurutnya, berlaku pergelutan melibatkan suspek warga tempatan berusia 33 tahun ketika pemeriksaan dilakukan berhampiran perumahan teres di situ.

“Suspek telah membuat provokasi ke atas anggota. Secara tiba-tiba suspek telah menyerang dan menetak salah seorang anggota iaitu mangsa dengan sebilah pisau pemotong daging.

“Pisau tersebut bukan milik suspek sebaliknya dia mengambil senjata tajam itu dari atas meja salah sebuah rumah teres di situ. Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggalkan motosikalnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis berjaya menahan suspek di sebuah flat kira-kira pukul 3.40 pagi tadi (semalam) dan merampas pisau yang digunakannya dalam kejadian tersebut.

Turut ditemui di dalam bawah tempat duduk motosikal suspek adalah 30 peket plastik lutsinar mengandungi ketulan dan serbuk warna kuning disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 210 gram.

“Keadaan mangsa kini stabil. Dia bukan sahaja mengalami kecederaan luka akibat torehan pada dahi dan tetak pada kepala, tetapi juga keretakan pada tengkorak.

“Polis akan mendapatkan tempoh tahanan reman ke atas suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” jelasnya suspek juga didapati positif pelbagai jenis dadah.

Sumber : Kosmo

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Seorang Lelaki M4ut Kena Pukul Dengan Lima Orang Kerana Cemburu

Seorang lelaki tempatan maut selepas dipukul dengan kejam oleh lima individu hanya kerana dendam dan cemburu di sebuah kondominium Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik perempuan mangsa berusia 26 tahun pada pukul 5.29 petang, semalam.

Katanya, pada pukul 7.15 pagi, adik mangsa menerima panggilan daripada rakannya bahawa suspek utama bersama empat rakannya yang lain telah membawa abangnya (si mati) keluar dari rumah tersebut.

“Difahamkan teman wanita mangsa mengatakan mangsa telah dipukul oleh kesemua suspek ketika berada di dalam kondominium disewa mangsa.

“Suspek kemudian telah membawa mangsa keluar dari rumah sewa tersebut dan pergi ke lokasi yang tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Anbalagan, suspek utama telah menghubungi rakan adik mangsa dan memberitahu mangsa berada di wad kecemasan Hospital Cyberjaya pada pukul 11.30 pagi.

Sejurus mendapat berita tersebut, adik mangsa bergegas ke Hospital Cyberjaya dan di maklumkan oleh pihak Hospital Cyberjaya bahawa abangnya yang berusia 31 tahun telah mati akibat kecederaan yang teruk.

“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Laporan perubatan mendapati mangsa bengkak dan lebam di kedua-dua belah mata, luka di hidung dan pendarahan di kedua-dua belah telinga. Punca kecederaan adalah disebabkan Blunt Force Trauma.

“Motif pembunuhan dipercayai kerana perasaan dendam dan cemburu suspek utama terhadap mangsa,” katanya.

Jelas Annalangan, siasatan masih diteruskan dengan mengesan lima suspek yang sudah dikenal pasti dan masih bebas.

Katanya, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply