Anggota Polis Trafik Mabuk Pandu Kereta Lawan Arus Ditahan

| December 22, 2020 | 0 Comments

Anggota Polis Trafik Mabuk Pandu Kereta Lawan Arus Ditahan | Johor Bahru – Seorang anggota polis trafik berpangkat konstabel bukan sahaja memandu secara berbahaya dengan melawan arus malah juga disyaki di bawah pengaruh alkohol dalam satu kejadian berlaku di Jalan Lingkaran Dalam di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima satu rakaman video pada pukul 12.30 tengah malam berkaitan kejadian sebuah kereta Perodua Axia dipandu secara berbahaya.

Katanya, pihak polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Bahru Selatan kemudian berjaya menahan lelaki itu di sebuah stesen minyak berhampiran.

“Hasil siasatan mendapati anggota polis berusia 25 tahun itu tidak bertugas pada masa kejadian serta menggunakan kenderaan persendirian.

“Ekoran penahanan itu, suspek kemudian disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih lima tahun.

“Selain itu, lelaki berkenaan disiasat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu dalam keadaan pengaruh mabuk. Jika sabit kesalahan boleh denda maksimum RM30,000 dan boleh dpenjara dua tahun serta hilang kelayakan memandu tidak kurang dua tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melanggar undang-undang termasuk kesalahan trafik.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *