Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang pelacur warga Vietnam, empat bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Mursyidien Azrai Nawi, 23, yang bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau dan melarikan wang tunai berjumlah RM1,800 serta dua unit telefon bimbit berjenama milik seorang wanita warga Vietnam.

Perbuatan itu dilakukannya kira-kira pukul 6.50 petang di sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya, Taman Melaka Raya, dalam daerah Melaka Tengah pada 31 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000.

Peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanyalah anggota berpangkat rendah dan menanggung ibu bapa yang uzur.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan tarikh 14 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Sumber : Kosmo

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

(VIDEO) Remaja Cuba Rosakkan CCTV Sebelum Rompak

Seorang remaja lelaki didakwa sengaja merosakkan kamera litar tertutup CCTV di sebuah rumah bagi memudahkan operasi mencuri di Samarahan, Sarawak pada Isnin.

Kejadian itu difahamkan berlaku pada pukul 5.30 pagi ketika remaja berkenaan dilihat mengayuh basikal di hadapan rumah terbabit.

Tindakan mencurigakan suspek dikesan apabila remaja berbaju putih dan berseluar pendek itu mula memanjat ke arah kamera CCTV terbabit.

Selang beberapa minit kemudian, wajah lelaki tersebut terpampang jelas di layar kamera selepas suspek dilihat merosakkan kamera di rumah terbabit.

Dikongsikan di laman Facebook, rakaman itu menerima lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.

Difahamkan, pencuri terbabit tidak sempat untuk mencuri dan pemilik rumah itu juga tidak mengalami sebarang kerugian ketika kejadian.

Namun, kegiatan itu nyata mengundang pelbagai persoalan dan spekulasi berhubung tindakan remaja tersebut yang dipercayai mempunyai niat jahat.

Johny Onny berpendapat, remaja itu perlu ditangkap segera sebelum dia datang semula keesokan harinya.

“Kantoi dah, harap dapat ditangkap segera remaja itu kalau dibiarkan mungkin dia akan datang semula keesokan harinya untuk merompak semula,” katanya.

“Kaki, tangan semua sempurna kenapa nak mencuri, usia masih muda tapi dah belajar mencuri, bila dah besar menyusahkan ibu bapa sahaja,” ujar Iman Amaroi.

“Kalau jumpa tampar terus muka budak itu, budak yang baik tak akan merosakkan harta orang, tangkap dia suruh bayar ganti rugi,” tambah Joheynes Easter.

Laporan polis telah dibuat susulan kejadian itu dan polis daerah Kota Samarahan sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Suspek yang masih bebas kini dalam buruan polis.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply