Seorang anggota tentera maut manakala seorang lagi mangsa cedera parah dalam kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan berlaku di Jakarta Timur, Indonesia.

Kejadian yang dirakamkan oleh saksi dikongsikan di laman Instagram Merekam Jakarta mendapat perhatian dan ditonton lebih daripada 4,000 warga maya.

Kemalangan tersebut berlaku pada pukul 10.30 pagi Isnin.

Berdasarkan rakaman tersebut, kelihatan keadaan kereta Toyota Avanza yang kemik pada bonet depan dan orang ramai datang membantu mangsa kejadian.

Saksi kejadian, Toryanto menjelaskan tiga motosikal sedang berhenti di lampu isyarat sebelum sebuah kereta Avanza hitam yang dipandu laju merempuh dua motosikal disebelahnya.

Rempuhan yang berlaku menyebabkan mangsa kejadian terseret sehingga lima meter dari lokasi kejadian.

Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan dan menurut laporan Berita Satu, mangsa mengalami luka parah di bahagian kaki dan pinggang manakala seorang lagi mangsa yang merupakan anggota tentera dikatakan maut di tempat kejadian.

Kemalangan yang berlaku mendapat pelbagai respon warganet dan rata-rata netizen bersimpati dengan mangsa kejadian.

“Kadang-kadang kita dah berhati-hati atas jalan raya tapi masih terlibat dalam kemalangan,” luah Faradiya.

“Semoga keluarga mangsa bertabah dengan ujian yang berlaku,” komen pengguna Instagram, Didie.

“Sekarang orang ramai memandu laju tanpa sedar sehingga mengorbankan nyawa orang lain, mereka patut dihukum agar kemalangan seperti ini tidak berlaku,” kata Zulfikri.

Setakat ini, pemandu kereta Avanza ditahan oleh pihak polis dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber: Majoriti

 

Baca Juga: Badan Wanita Lunyai Slps Diseret Bawah Kereta 90 Meter

Seorang wanita maut selepas dilanggar dan diseret sejauh 90 meter oleh seorang pemandu lelaki di jalan raya dekat Universiti Dhaka (DU), Bangladesh pada Jumaat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka, Md Shahidullah berkata, kes tersebut bukan satu kemalangan, sebaliknya beliau mengesahkan bahawa kejadian itu merupakan kes pembunuhan yang disengajakan.

“Mangsa, Rubina Akhter, dilanggar pemandu terbabit dan tersepit di bawah kenderaan itu.

“Suspek yang merupakan bekas tenaga pengajar di fakulti DU, terus mengheret mangsa sehingga ke kawasan Neelkhet di Dhaka dan abang ipar mangsa yang menunggang motosikal turut tercedera dalam kejadian tersebut.

“Orang ramai cuba menghentikan kereta berkenaan sebaik menyedari kewujudan mayat dan kesan lumuran darah di sepanjang jalan raya, namun pemandu terbabit masih berdegil dan meneruskan perjalanan,” katanya.

Ketika disoal sama ada pemandu itu mabuk ataupun tidak, pihak polis tidak dapat mengesahkannya kerana suspek telah dibawa ke hospital akibat cedera parah dipukul orang awam.

“Tindakan undang-undang akan diambil selepas siasatan, tanpa mengira sama ada bekas guru itu berada dalam keadaan normal ataupun tidak,” tambahnya.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Kolej Perubatan Dhaka (DMCH) kira-kira pukul 4:45 petang.

Ketika kejadian, salah seorang saksi berkata, mangsa tersepit di bawah kenderaan tersebut dan kesan darah di sepanjang jalan menyebabkan orang ramai mula sedar akan kejadian terbabit.

Setibanya di Neelkhet, kereta itu ditahan dan suspek dipukul orang ramai manakala mangsa pula berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Berdasarkan rekod, suspek yang dikenali sebagai Azhar, dibuang daripada universiti berkenaan pada 2018 kerana tidak hadir ke kelas bagi tempoh yang lama.

Sumber: KMN

 

Share.

Leave A Reply