Angkara Tak Boleh Guna Wifi, Remaja Tembak Mati Ibu Bapa & Adik Lelaki | MADRID: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun didakwa membunuh ibu bapa serta adik lelakinya selepas tercetus pertengkaran keluarga mengenai Wi-Fi, di bandar Elche, tenggara Sepanyol.

Polis mengesahkan remaja itu yang namanya tidak didedahkan, ditahan kelmarin kerana dituduh melakukan tiga pembunuhan yang berpunca daripada pertengkaran mengenai gred pelajarannya yang lemah, lapor Agensi Berita Xinhua memetik akhbar Sepanyol.

Akhbar tempatan melaporkan, ibu remaja itu memutuskan aksesnya kepada Wi-Fi sebagai hukuman terhadap suspek atas prestasi buruk di sekolah dan keengganan membantu melakukan kerja di rumah.

Susulan itu, remaja terbabit didakwa mengambil senapang patah lalu menembak mati ibunya, sebelum membunuh bapa serta adik lelaki berusia 10 tahun dengan senjata sama apabila mereka pulang ke rumah dan mengetahui apa yang telah berlaku.

Remaja itu kekal di rumah bersama ketiga-tiga mayat selama tiga hari sebelum membuat pengakuan kepada saudara-mara yang bimbang selepas tidak mendengar khabar daripada keluarga berkenaan.

Polis kemudian menahan remaja itu, dan dia secara rasmi mengaku melakukan tiga pembunuhan berkenaan, ketika disoal siasat di Balai Polis Elche serta kini masih berada dalam tahanan. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply