Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa kerajaan tidak akan membeli kereta rasmi baru untuk kegunaannya atau melakukan sebarang pengubahsuaian di pejabatnya.

story image

Jelasnya, ini kerana dia ingin mewujudkan budaya tidak membazirkan dana kerajaan sebagaimana amalan pentadbiran terdahulu.

“Mereka sebut umpamanya karpet (di JPM) tu ada yang pecah. Saya kata tak apa, repair sikit-sikit cukup. Jangan beli yang baru.

“Jadi ini sebagai mesej kepada semua pimpinan jabatan yang lain supaya ingat dalam keadaan sekarang kita patut mulakan budaya baru. Jangan gunakan wang kerajaan untuk kemudahan kita.

“Fikirkan ini boleh jimat RM100, RM1000, RM10,000 itu boleh dipulangkan kepada rakyat yang susah. Saya mulakan dari situ selain tidak ambil gaji,” katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran di Masjid Ashabus Solihin di Sungai Long, Kajang.

Hari ini, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan jabatan dan agensi kerajaan di Putrajaya esok yang akan memberi tumpuan kepada mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dia akan menghadiri mesyuarat khas Majlis Tindakan Kebangsaan 2022 mengenai ‘kos sara hidup’ esok di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 11 pagi.

Anwar yang juga ahli parlimen Tambun berkata menangani kenaikan kos sara hidup akan menjadi keutamaannya sebagai perdana menteri.

Pengerusi PH itu enggan menerima gaji perdana menteri dan hanya akan mendapat elaun yang dibayar kepada ahli parlimen.

Sumber : Malaysia Kini

Share.

Leave A Reply