Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan dirinya akan berehat seketika dari arena politik dan akan memikirkan serta membuat perancangan baharu.

 

Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu memaklumkan perkara tersebut di laman Twitter miliknya pada Ahad.

Walau bagaimanapun, Azmin berkata beliau akan terus tekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Kepada semua rakyat Malaysia, ini adalah fasa berehat dalam kerjaya saya untuk berkhidmat kepada rakyat bagi memikirkan perancangan baharu.

“Namun begitu, tekad saya untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat tidak akan putus,” katanya.

Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor

Sebelum ini, media melaporkan PN tidak menolak kemungkinan untuk mencalonkan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan diadakan pada tahun ini.

Sekiranya PN berjaya menawan Selangor, maka Azmin Ali akan menerajui semula kerajaan negeri itu.

Menurut Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi, peluang sentiasa terbuka kepada Azmin namun segalanya terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan PN.

PN perlu menentukan seorang calon terbaik untuk menjawat jawatan di negeri Selangor.

“Peluang sentiasa terbuka kepada (Mohamed Azmin) dan kalau beliau berjaya menang di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan membantu kemenangan kita di Selangor, insya-ALLAH dengan segala pengalaman yang ada membangunkan Selangor, beliau mampu ke arah itu,” katanya memetik Sinar Harian.

Sementara itu, Zulkafperi berkata selain menyandang jawatan itu, Azmin Ali juga akan berdepan tugas yang berat untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

“Kerusi DUN (Bukit Antarabangsa) dijangka sengit kerana pengundi Melayu di sana tidak sampai 50 peratus dan ia tentulah sukar tetapi pengaruh beliau mampu menarik sokongan pengundi.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan sama ada Mohamed Azmin kekal di (DUN) Bukit Antarabangsa atau memilih kerusi DUN lain yang mungkin berpihak kepada kemenangan PN,” kata beliau.

Dalam pada itu, Zulkafperi berkata kesiapsiagaan jentera PN kini berada pada tahap yang memuaskan dan beliau yakin mampu memperoleh kerusi DUN yang banyak pada PRN itu.

Sumber : Siakap Keli

Share.

Leave A Reply