Bakar Dapur Rumah Keluarga, Penganggur Dipenjara 5 Tahun

| April 5, 2021 | 0 Comments

Bakar Dapur Rumah Keluarga, Pengganggur Dipenjara 5 Tahun | Hanya kerana adik menjual motosikal milik keluarga, seorang lelaki yang juga merupakan seorang pengganggur dan penagih dadah sanggup bertindak di luar kawalan dengan membakar dapur rumah milik keluarganya.

Kota Bharu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat api dengan membakar dapur rumah keluarganya dalam kejadian di Kampung Pemberian, Kuala Krai, bulan lalu.

Tertuduh Mohd Fauzie Abdullah,33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan khianat api dengan membakar dapur rumah milik Abdullah Hamat,68, iaitu bapanya sehingga menyebabkan kerosakkan kepada pakaian dan barangan dapur dalam rumah berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pemberian, Kuala Krai jam 1 pagi pada 24 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu dihubungi oleh abangnya mengatakan bahawa rumahya di Kampung Pemberian berlaku kebakaran, pengadu tahu kejadian itu dilakukan oleh anaknya kerana hanya anaknya iaitu tertuduh yang tinggal di rumah berkenaan.

Anak pengadu juga merupakan seorang penagih tegar sehingga menyebabkan pengadu dan isterinya berpindah sementara di rumah keluarganya di Pasir Mas.

Tertuduh kemudian ditangkap pada 29 Mac dan hasil siasatan polis mendapati, tertuduh bertindak membakar rumah keluarganya kerana bergaduh dengan adiknya yang sudah menjual motosikal milik keluarga.

Berang dengan tindakan adiknya, tertuduh kemudian mengambil pakaian adiknya dan membakar di ruangan dapur sehingga menyebabkan kebakaran dan kerosakan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amer Sharifuddin dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sharifah Amirda memohon hukuman penjara setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bermula dari tarikh ditangkap.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *