Bangunan Seni Kayu Warisan Terbakar, Hampir 10,000 Pakaian Dan Ukiran Kayu Musnah | KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10,000 pakaian membabitkan baju Melayu, jubah dan kurta, songket lama serta pelbagai ukiran kayu musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian lebih RM3 juta.

bangunan warisan terbakar

Terbakar Semasa Tengah Makan Malam

Bangunan Seni Kayu Warisan menempatkan semua barangan berkenaan milik seorang ahli perniagaan, Burhan Ashari, 68, itu, dikatakan terbakar kira-kira 10 malam tadi.

Burhan yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian berkata, ketika kejadian, dia makan malam bersama tiga pekerja di sebuah restoran di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, kira-kira tiga kilometer dari lokasi.

“Saya terima panggilan daripada pengusaha kedai makan berhampiran lokasi memberitahu mengenai kebakaran sebelum segera pulang.

“Sebaik tiba, saya mendapati api marak membakar tingkat atas bangunan dan berusaha membawa keluar sebuah kereta milik saya, MG Rover dan tiga motosikal milik pekerja, namun gagal,” katanya yang juga anak kepada pengusaha songket terkenal, Nor Atikah Songket.

Katanya, bangunan berusia lebih 50 tahun dahulunya dijadikan sebagai bengkel dan perusahaan songket milik arwah ibu, sebelum diambil alih untuk dijadikan sebagai pejabat, bengkel dan pusat pameran seni ukiran kayu kira-kira 10 tahun lalu.

Beliau mendakwa, terdapat banyak bahan mudah terbakar kerana bahagian atas adalah stor bagi menyimpan kira-kira 10,000 pasang stok baju Melayu, jubah dan kurta, lebihan jualan Aidilfitri lalu milik anaknya, Mohd Amir Imran, 36.

Rumah Dua Tingkat Terbakar 100 Peratus

“Bahagian bawah pula dijadikan pejabat dan pameran ukiran kayu untuk pasaran serta songket lama peninggalan arwah ibu.

“Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa kerana ketika kejadian saya bersama tiga pekerja yang tinggal di bangunan ini baru sahaja keluar untuk makan malam.

“Saya juga bersyukur kerana bengkel yang menempatkan pelbagai alatan dan mesin serta kayu cengal di bahagian belakang bangunan terselamat daripada kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, 36 anggota dari empat BBP iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Jalan Kota dan Kuala Berang terbabit dalam operasi pemadaman.

Katanya, rumah jenis sementara kekal dua tingkat itu terbakar 100 peratus.

Sumber : BH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Lelaki Melecur Selamatkan Diri Ketika Rumah Sewa Terbakar

Lelaki Melecur Selamatkan Diri Ketika Rumah Sewa Terbakar | Dua lelaki terselamat dengan seorang daripadanya melecur ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan rumah sewa mereka di Jalan Rebung Bukit Kapar, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Muhammadul Ehsan Mohd. Zain berkata, seramai 20 anggota termasuk pegawai dari tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Sungai Pinang dan Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.21 pagi.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah sewa yang mempunyai lima pintu kesemuanya. Semasa kejadian, dua lelaki berjaya menyelamatkan diri dengan seorang daripadanya melecur pada tahap 45 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan, mangsa yang melecur kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk tindakan selanjutnya.

Tambah Muhammadul Ehsan, kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira pukul 5.46 pagi dengan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

 

Baca Juga Artikel Menarik Ini :

Seorang Kanak² Perempuan M@ut Dlm Kebakaran 3 Rumah.

Georgetown: Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Jalan Paya Terubong, Kampung Pisang, Air Itam di sini, malam tadi.

Mangsa, G Sri Laavanya ditemukan rentung, manakala wanita berusia 50 tahun yang juga nenek mangsa cedera di tangan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, TS Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.19 malam.

Katanya, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dan Jalan Perak bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat dengan dibantu 50 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Bukit Bendera, Bagan Ajam, Jalan Perak, Padang Lalang serta Air Itam.

“Ketika tiba di tempat kejadian, api marak membakar tiga rumah kampung yang berkedudukan rapat antara satu sama lain.

“Berdasarkan maklumat awal, dipercayai kanak-kanak berusia tujuh tahun terperangkap dalam rumah berkenaan dan api berjaya dikawal pada 12.45 tengah malam.

“Pasukan bomba menghadapi kesukaran berikutan tiada laluan masuk bagi jentera ke lokasi selain perlu menggunakan hos sejauh 150 meter dari jalan utama ke kawasan kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi, awal pagi tadi.

Mengulas lanjut Zulfahmi berkata, pasukan penyelamat kemudian menemukan mayat kanak-kanak itu dalam keadaan mengiring dan rentung sepenuhnya kira-kira lapan meter dari pintu utama rumah berkenaan.

Katanya, kanak-kanak malang terbabit dipercayai terperangkap di bilik tidur berdasarkan terdapat katil berhampiran mangsa.

“Kanak-kanak itu dipercayai panik dan dalam keadaan asap tebal, mangsa mungkin cuba lari sama ada ke bilik air atau ke jalan keluar berhampiran, namun siasatan lanjut akan menentukan puncanya,” katanya lagi.

Menurut Zulfahmi, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan, manakala mayat kanak-kanak itu diserah kepada polis sebelum dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.

“Punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan dan operasi tamat pada jam 1.23 pagi,” katanya.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi lokasi kejadian berikutan datuk dan nenek serta ahli keluarga mangsa meratapi pemergian kanak-kanak itu.

Kepantasan pasukan penyelamat mengawal kebakaran juga mengelak api daripada merebak ke rumah berhampiran.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply