Bapa Bunuh Anak Lepas 3 Hari Anak Bebas Dari Penjara | Seorang bapa berusia 73 tahun membunuh anak lelakinya yang berumur 46 tahun di sebuah pondok di tengah sawah di wilayah Chaiyaphum, timur laut Thailand, lapor portal berita Thaiger semalam.
3 Hari Bebas, Ugut Bunuh Bapa
Anak lelaki itu dibebaskan dari penjara tiga hari sebelumnya dan mengugut mahu membunuh bapanya.
Selepas membunuh, warga emas itu melarikan diri sebelum menyerah diri di sebuah balai polis di wilayah Khon Kaen.
Mayat mangsa ditemui berhampiran sebuah pondok buluh. Bapanya memaklumkan anaknya baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah dan pulang ke rumah sejak tiga hari lalu.
Sepanjang tempoh tiga hari, si anak tidak membantu melakukan kerja atau berhenti mengambil dadah.
Mangsa juga kerap bertengkar dengan bapanya, lapor portal berita KhaoSod.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila si anak bersemuka dengan bapanya dan mengugut untuk membunuh warga emas itu.
Pukul Anak Guna Cangkul
Semasa pertengkaran tersebut, lelaki tua itu mengambil cangkul dan memukul anaknya tiga kali dari belakang, menyebabkan si anak rebah dan tidak bergerak.
Bapanya kemudian mencampak cangkul itu ke dalam kolam di belakang pondok dan melarikan diri.
Polis masih belum mendakwa warga emas itu, tetapi Kod Jenayah Thailand menyatakan sesiapa yang didapati bersalah melakukan membunuh boleh dihukum mati atau penjara 15 hingga 20 tahun.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Menarik Ini :
Lelaki Mati Ditembak Polis Selepas Ancam Bunuh Ibu Kandung
Lelaki Mati Ditembak Polis Selepas Ancam Bunuh Ibu Kandung | BAGAN DATUK: Seorang lelaki mati ditembak polis selepas menjadikan ibu kandung sebagai tawanan dan mengancam membunuh mangsa dengan parang, ketika cuba mengelak ditahan dalam kejadian di Kampung Teluk Kompol Hutan Melintang di sini.
Bawah Pengaruh Dadah
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata Polis Daerah Hilir Perak menerima laporan ahli keluarga lelaki berusia 44 tahun di bawah pengaruh dadah, yang bertindak agresif pada jam 10 pagi semalam.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota jabatan jenayah narkotik dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
“Setibanya di lokasi, polis memujuk suspek untuk memberikan kerjasama, namun dia enggan dan bertindak agresif.
“Suspek kemudiannya mengugut untuk menetak dan mencederakan ibunya yang berusia 72 tahun. Suspek turut meletakkan parang di tengkuk mangsa ketika menuntut polis beredar.
“Pihak polis secara berhati-hati, memotong pintu jeriji yang dikunci dari dalam oleh suspek menggunakan pemotong besi. Namun, suspek yang menyedari polis memasuki rumah itu, bertindak menolak ibunya sehingga jatuh dan pengsan serta menghayun parang ke arah polis yang cuba menangkapnya.
Suspek Serang Polis Guna Parang
“Dalam keadaan ancaman nyawa yang dihadapi, anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah suspek yang terkena di bahagian bahu kiri menyebabkan lelaki itu rebah ke lantai dan mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.
Mohd Yusri berkata, polis menghubungi ambulans ke tempat kejadian bagi membantu suspek dan mangsa yang cedera.
“Walau bagaimanapun, suspek disahkan meninggal dunia sebaik pihak perubatan tiba di lokasi.
‘Mayat suspek dibedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hari ini, sementara siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh serta kematian mengejut (SDR),” katanya.
Beliau berkata, suspek adalah seorang duda yang bekerja sebagai buruh kampung yang mengusahakan kebun sawit seluas satu ekar milik keluarga di belakang rumah ibunya.
“Siasatan awal mendapati, suspek memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya.
Sumber: BH