Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada abah kami,” kata Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Nurulhidayah menzahirkan penghargaan itu menerusi hantaran di Instagram (IG) miliknya, awal pagi tadi susulan pelantikan bapanya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menerusi hantaran itu, Nurulhidayah turut memuat naik gambar bersama bapa dan adiknya dengan kapsyen sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi.

“Alhamdulillah atas kurniaan rezeki dari Allah buat kami malam ini (malam tadi).

“Perkhabaran yang paling baik buat kami sekeluarga, diterima sebagai ‘amanah tambahan’ dari Allah untuk memastikan abah sentiasa sihat dan tenang dalam menjalankan tanggungjawab yang baharu nanti.

“Allah Maha Baik. Semoga Allah permudahkan dan memberi kelancaran kepada kerajaan yang baharu ini dan diringankan dari ujian dan musibah yang berat. Amin,” tulisnya.

Menerusi hantaran sama, Nurulhidayah turut menyatakan peranannya dalam keluarga dan tidak kisah berdepan cemuhan masyarakat.

“Segala puji hanya bagi Allah. Kami hanya dua beradik perempuan daripada lima beradik.

“Kebetulan, kedudukan kami bergambar adalah gambaran kedudukan tugas kami dalam keluarga.

“Saya (Kak Long) akan menjaga benteng dari luar dan adik saya (anak kedua) akan menjaga dari dalam. Segala keperluan, kesihatan, makanan dan apa saja ‘internal affairs’ (hal dalaman) dia akan jaga.

“Itu sebab saya yang paling dikenali dan yang paling teruk kena hentam.

“Saya tak kisah kerana saya rasa berbaloi untuk saya ambil tugas menjaga ‘external affairs’ (hal luar) demi abah dan emak serta keluarga,” katanya.

Malam tadi, Anwar membuat pengumuman barisan menteri di bawah pentadbirannya dengan Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Pelantikannya itu mendapat pelbagai maklum balas daripada netizen malah sudah tersebar khabar angin sebelum pengumuman mengatakan Ahmad Zahid akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun beberapa nama pemimpin lain disebut mengisi jawatan berkenaan sebelum ini.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply