Bapa Hukum Anak Bermain Permainan Video Selama 17 Jam | Angkara ketagih permainan video mudah alih (mobile game), seorang budak lelaki di China dihukum bermain permainan itu selama 17 jam tanpa henti oleh bapanya.
Taiwan ET Today melaporkan, hukuman itu membuatkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terbabit memohon maaf kepada bapanya.
Menurut media tempatan China, kejadian itu berlaku di Shenzhen.
Menerusi rakaman video dikongsi Douyin, bapa dikenali Huang menyedari anaknya bermain permainan mudah alih secara rahsia pada 1.30 pagi waktu tempatan, 8 Mac lalu.
Huang kemudian menghantar mesej kepada anaknya memberitahu bahawa dia akan membiarkan anaknya bermain sehingga keesokan hari dengan syarat tidak boleh tidur.
Sehingga jam 7.30 pagi waktu tempatan, anaknya itu masih belum tidur.
Huang kemudian memutuskan menulis surat kepada guru memberitahu anaknya tidak dapat ke sekolah dan perlu mengambil cuti.
Huang berkata, anaknya itu tertidur kira-kira 1.30 tengah hari selepas bermain permainan video itu kira-kira 12 jam, namun dia mengejutkan kanak-kanak itu supaya meneruskan permainannya.
Hantaran video menunjukkan bahawa matlamat Huang pada ketika itu adalah membuatkan anaknya bermain selama 24 jam.
Bagaimanapun, selepas 17 jam bermain iaitu pada jam 6.30 petang, anaknya memohon maaf dan menyedari kesilapan.
Anak lelakinya juga menulis surat dalam Bahasa Inggeris dan berjanji untuk tidak bermain permainan mudah alih sebelum tidur.
Ditanya mengapa memberikan hukuman sedemikian, Huang menjelaskan bahawa anaknya itu sering melakukan aktiviti luar bersama dan mempunyai tahap kecergasan dan gred yang baik, selain taat dengan suruhannya.
Bagaimanapun Huang berkata, dia tidak menyarankan kaedah sebegitu kepada ibu bapa lain dalam mendidik anak mereka.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Budak [email protected] Ditembak Rakan Berang Kalah Permainan Video
Budak [email protected] Ditembak Rakan Berang Kalah Permainan Video | Gara-gara kalah dalam permainan video, seorang kanak-kanak maut ditembak dengan pistol oleh rakan sepermainannya.
Pihak berkuasa berkata, insiden ganas di negeri timur Veracruz itu membabitkan dua budak lelaki iaitu mangsa yang berusia 11 tahun, manakala pelaku jenayah berkenaan berumur 10 tahun.
Suspek mengambil pistol dari rumah keluarga dan menembak mangsa di kepala pada Ahad selepas kecewa dan marah akibat kekalahannya ketika bermain di premis sewa permainan video.
Kanak-kanak itu dan keluarganya kemudian melarikan diri.
Ibu mangsa berkata kepada pemberita pada majlis pengebumiannya pada Selasa bahawa apa yang dia minta ialah membantunya untuk mencapai keadilan.
Ibu mangsa bertambah lagi bahawa anaknya meninggal dunia kerana ibu bapa kanak-kanak yang membunuh anaknya itu bersikap tidak bertanggungjawab kerana meninggalkan pistol di atas meja.
Veracruz adalah antara negeri paling ganas di Mexico akibat peperangan antara pengedar dadah.
Lebih 340,000 orang dibunuh di seluruh negara Amerika Latin itu sejak kerajaan mengerahkan tentera dalam perang melawan dadah pada 2006.
Sumber: Harian Metro
Remaja [email protected], Lagi Seorang Parah Tragedi ‘Merempit’
Remaja [email protected], Lagi Seorang Parah Tragedi ‘Merempit’ | Tindakan dua remaja lelaki dipercayai berlumba motosikal di Persiaran Raja Muda Musa, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi menimpa dua mangsa berusia 19 tahun itu turut mengakibatkan seorang lagi parah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kemalangan itu melibatkan dua motosikal berasingan di jalan dari arah Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca sekumpulan penunggang motosikal bersaing sesama sendiri dengan menunggang laju dan melulu di jalan tersebut.
Kedua-dua motosikal mangsa kemudian bergesel sesama sendiri dan tidak dapat mengawal motosikal lalu terjatuh.
Katanya dalam kenyataan hari ini bahawa mereka kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Jelas Hoong Fong, seorang mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pukul 6.50 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seorang lagi remaja yang mengalami kecederaan dalaman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang masih dirawat di Zon Merah HTAR. Ahli keluarga mangsa yang maut telah hadir ke Balai Polis Trafik Klang untuk membuat laporan polis.
Beliau juga mengujar bahawa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Syahirah Kamsani di talian 012-4470162 bagi membantu siasatan. Mereka juga boleh menghubungi Balai Polis Trafik Klang Selatan di talian 03-33722222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, tular dua video memaparkan dua penunggang motosikal terbaring cedera selepas terjatuh dan dibantu sekumpulan lelaki di lokasi tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia