Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dilaporkan bersetuju kekal sebagai pembangkang buat masa ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Barisan Nasional Tak Sokong Mana-Mana Gabungan Tubuh Kerajaan

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini memutuskan untuk tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.

Jelasnya, alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

Ujarnya dalam satu kenyataan di Twitter, BN tidak menyokong PH mahupun PN. Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang.

Berdasarkan keputusan BN hari ini, peluang Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 semakin tipis berikutan PH memiliki 82 kerusi Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), memerlukan sokongan 30 Ahli Parlimen BN untuk memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112.

Situasi itu juga selepas mengambil kira kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semalam yang memaklumkan gabungan itu sudah mengemukakan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri yang baharu.

Malah, Hamzah hari ini memaklumkan PN turut menerima satu lagi SD daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Muhyiddin dan SD tambahan itu sudah diserahkan kepada Istana Negara pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang ditemui selepas selesai mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini, memaklumkan BN bersetuju secara ‘en bloc’ untuk kekal sebagai pembangkang.

Katanya lagi, semua setuju kita tak sokong sesiapa. Kita berdiri sebagai satu blok, dan kita sedia menjadi pembangkang.

Tambahnya, kita tak pilih (PN atau PH), tak masuk mana-mana. Kita hormat pendirian rakyat.

Mengulas perkara sama, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, ketika ditemui berkata 30 Ahli Parlimen BN yang hadir mesyuarat Dewan Tertinggi BN mengesahkan tidak menyokong nama mana-mana calon Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10.

Beliau berkata, nama (calon Perdana Menteri) tidak ada. Kita tidak mencadangkan. Tidak ada ‘side’ (sebelah mana-mana pihak. (Semua) 30 Ahli Parlimen BN bertenang. Sehingga masa yang sesuai.

Beliau juga berkata, semua Ahli Parlimen BN sepakat bersedia untuk menjadi pembangkang.

Menurutnya, dalam politik semua boleh berlaku. Kami mahu ‘en bloc’ Kami dalam satu pasukan. Kita sedia jadi pembangkang.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga mengesahkan tiada nama calon Perdana Menteri dipersetujui oleh BN sama ada daripada PH atau PN.

Tambah lagi, tiada kecenderungan bagi (kedua-duanya).

Selesai Mesyuarat Ahli Parlimen BN, ‘Semua’ Tutup Mulut.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selesai bermesyuarat berhubung isu pembentukan kerajaan dan pencalonan Perdana Menteri Ke-10, sama ada menyokong Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Barisan Nasional Tak Sokong Mana-Mana Gabungan Tubuh Kerajaan

Beberapa Ahli Parlimen yang dihampiri petugas media untuk mengulas hasil pertemuan lebih sejam itu bagaimanapun menutup mulut ketika ditanya jika ada calon Perdana Menteri diputuskan untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum jam 2 petang ini.

Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang beredar meninggalkan Menara Dato’ Onn di sini, tidak memberi sebarang kenyataan kepada media dan terus menaiki kenderaannya lalu beredar.

Begitu juga reaksi Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, ketika ditanya sama ada beliau menandatangani surat akuan (SD) menyokong mana-mana nama Ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri.

‘Tanya presiden (MCA),” katanya ringkas ketika beredar keluar bersama Ka Siong.

Terdahulu, Setiausaha Agong MCA, Datuk Choon Sin Woon berkata, mesyuarat sudah berakhir dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan BN hari ini.

Pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15, Sabtu lalu. PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Semalam, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca PRU15, sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH semalam menemui jalan buntu selepas tiada sebarang SD ditandatangani bagi menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Perbincangan dan pertemuan diteruskan pagi ini dengan Ahli-ahli Parlimen BN dilaporkan masih bermesyuarat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.

Selain Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PH adalah Bendahari BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Share.

Leave A Reply