Kereta dinaiki lima beranak yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang petang semalam dikatakan baru sahaja dibeli daripada jiran kira-kira seminggu lalu.

Baru Beli Kereta Baru, 5 Sekeluarga Maut Nahas

Mohd Yusof Ibrahim, 35, berkata kereta terpakai model Toyota itu dibeli oleh adiknya, Muhammad Rosli Ibrahim, 33, yang maut dalam nahas itu bersama isteri serta tiga anak mereka, daripada jiran berdekatan selepas kereta berkenaan dikatakan jarang digunakan.

“Baru sahaja arwah beli kereta berkenaan daripada jiran belakang rumah yang juga rakannya di sini dan kami tahu kereta berkenaan sememangnya lama tidak digunakan menyebabkan arwah mahu membelinya,” katanya ditemui di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Selain Muhammad Rosli dan isteri, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, turut maut dalam nahas itu adalah ketiga-tiga anak mereka, Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7, Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6, dan anak lelaki bongsu, Muhammad Rizqi berusia setahun enam bulan.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, dia hanya mengetahui pemergian lima beranak itu ke Pahang daripada Bagan Serai melalui paparan status WhatsApp adiknya itu kira-kira jam 11 malam Isnin lalu, yang difahamkan bertujuan mengenai urusan pusaka bapa kepada Nor Afikah.

Menurutnya, arwah Muhammad Rosli tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik namun kira-kira dua minggu lalu arwah sekeluarga ada menjemput keluarga adik-beradiknya berhimpun di rumah mereka di Bagan Serai untuk kenduri kecil selain bermurah hati menghadiahkan pakaian kepada anak saudara.

Jelasnya, baru sahaja lagi keluarga kami berhimpun kecil di rumah mereka di Bagan Serai kerana arwah ada buat ‘makan-makan’ biarpun ketika itu tidak dapat hadir. Bagaimanapun difahamkan ketika itu mereka sekeluarga nampak benar-benar gembira.

Tambahnya, hinggakan mereka suami isteri mengeluarkan belanja membeli seluar kepada anak-anak saudaranya. Boleh dikatakan mereka suami isteri memang rajin melayan anak saudara mereka memandangkan hubungannya sekeluarga agak rapat yang justeru membuatkan sukar menerima ketentuan ini.

Mohd Yusof berkata, Muhammad Rosli yang bekerja sebagai pemandu bas ekspres sememangnya disifatkan sebagai seorang yang ringan tulang serta gemar bantu melakukan kerja pembersihan di kampung halaman ibunya di sini seperti menebas rumput, membakar sampah dan sebagainya.

Ujarnya, boleh dikatakan dalam seminggu sebanyak dua kali arwah akan pulang singgah ke kampung khusus untuk membantu emak yang menetap di sini dan jika cuti dari membawa bas, dia akan berusaha mencari pendapatan lebih dengan membawa lori secara sambilan.

Beliau berkata, kerjanya memang banyak perlu menghabiskan masa di atas jalan raya. Jika dia cuti dari membawa bas pun lazimnya paling lama pun dua hari saja yang mana pada masa dia bercuti dari membawa bas itulah dia akan bertanya kepada rakan jika ada tawaran membawa lori.

Sambungnya, kerajinan arwah abang melakukan kerja rumah selain kerap singgah menjenguk emak di sini boleh dikata mengalahkan kami adik-beradiknya yang lain. Kami difahamkam arwah juga agak disayangi mentuanya kerana isterinya hanya mempunyai dua beradik.

Katanya lagi, jenazah lima beranak itu dijangka akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Labu Kubong, di sini, petang ini.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply