Bas Ekspres Terbalik, Pemandu Bas Ditahan | Insiden yang melibatkan bas ekspres bukanlah terdengar asing malah acap kali juga kita mendengar mengenai insiden ini di mana kebanyakkannya melibatkan nyawa. Namun, sedikit kelegaan menjengah kerana insiden bas ekspres yang terbabas ini tidak melibatkan nyawa yang terkorban.

 

Ipoh: Seramai 15 individu cedera termasuk pemandu selepas bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer (KM) 265 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran dengan Terowong Menora, awal pagi ini.

Sehubungan dengan insiden itu polis membuat penahanan terhadap pemandu bas ekspres berkenaan.

Timbalan  Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, penahanan dibuat selepas pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 19 rekod saman lampau individu bagi kesalahan trafik selain tiga rekod saman lampau bagi bas yang dipandunya itu.

Beliau berkata, suspek yang berusia 39 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah turut cedera di kaki.

“Kes disiasat mengikut seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal juga mendapati faktor pemandu terlelap seketika antara punca kejadian yang mengakibatkan¬† dua penumpang mengalami cedera parah, manakala yang lain mengalami kecederaan ringan,” Katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang parah adalah seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang cedera di kepala dan seorang wanita tempatan yang berusia 33 tahun yang cedera di pinggang.

Mohamad Nordin berkata siasatan mendapati bas dari Kulim ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik di sebelah kiri parit (longkang) jalan.

“Kesemua mangsa berusia 14 hingga 59 tahun itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan sedang menerima rawatan,”katanya.

Mohamad Nordin berkata, kejadian berlaku di kawasan selekoh sewaktu bas berkenaan sedang menuruni kawasan berbukit tidak jauh selepas keluar dari terowong menora.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply