Bas Perjalanan Ke Kuching Terbalik, Lapan Terselamat | Lapan termasuk pemandu yang sedang dalam perjalanan dari Miri ke Kuching berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 25, Jalan Sri Aman-Kuching, pagi tadi.

Bas Perjalanan Ke Kuching Terbalik, Lapan Terselamat

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu berlaku apabila pemandu bas terbabit gagal mengawal kenderaan lalu melanggar kon penghadang jalan sebelum terjatuh ke tebing jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata ketika kejadian seramai lapan orang berada di dalam bas berkenaan iaitu pemandu dan pemandu simpanan serta enam penumpang dengan empat daripadanya warga Indonesia.

Menurut beliau, hanya pemandu simpanan dan seorang penumpang mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu dan mereka dihantar ke Hospital Sri Aman untuk menerima rawatan.

Katanya, siasatan awal mendapati apabila sampai di Kilometer Jalan Sri Aman Kuching, pemandu berusia 56 tahun itu dipercayai gagal mengawal kenderaan akibat hujan, lalu melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri sebelum jatuh dan terbalik.

Pemeriksaan yang dijalankan terhadap empat warga Indonesia termasuk dua wanita mendapati mereka mempunyai permit perjalanan yang sah.

Tambahnya, ketika disoal, mereka memaklumkan mahu pulang ke negara asal melalui sempadan di Tebedu dan Biawak.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply