Bas Terjunam Dalam Gaung, 10 Terbunuh Manakala 40 Cedera | SRINAGAR – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan lebih 40 lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung di wilayah Jammu di Kashmir yang ditadbir India, lapor Anadolu.
Kemalangan berlaku berhampiran kawasan Jajjar Kotli semasa penumpang dalam perjalanan ke kuil gua Hindu di kawasan Katra Jammu.
“Operasi menyelamat hampir selesai. Anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri juga berada di tempat kejadian,” kata pegawai kanan polis Chandan Kohli kepada media.
Seramai 805 orang maut dan 8,372 yang lain cedera dalam 6,092 nahas jalan raya di wilayah Jammu dan Kashmir pada 2022, menurut data polis trafik.
Jammu, ibu kota musim sejuk di negeri Jammu dan Kashmiru, menyumbang jumlah tertinggi (551) kematian dan kecederaan (6,585) antara 2018 dan 2022.
Sebagai perbandingan, Srinagar ibu kota musim panas melaporkan 229 kematian dan 1,776 lagi cedera dalam tempoh yang sama.
Bilangan kemalangan yang tinggi di Jammu dikaitkan dengan keadaan jalan raya yang teruk, memandu dalam keadaan mabuk dan melulu selain muatan berlebihan.
Sumber: SINAR HARIAN
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Lori Dipandu Terbabas Dan Terbalik, Warga Emas M@ut
Lori Dipandu Terbabas Dan Terbalik, Warga Emas M@ut | Seorang pemandu lori maut setelah kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Kampung Budu -Tualang Padang, Benta di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.35 petang itu, mangsa Johari Md. Jali yang berumur 70 tahun, yang beralamat di Kampung Sementeh, Lanchang, Temerloh dekat sini disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala.
Superintenden Azli Mohd. Noor, Ketua Polis Lipis berkata, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku disebabkan lori jenis Rigid Dumper itu hilang kawalan semasa melalui jalan yang berselekoh serta menuruni bukit kawasan tersebut.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu dalam perjalanan dari Lanchang membawa muatan tar untuk dihantar ke Kampung Kemahang, Benta.
Beliau juga menyatakan dalam kenyataan bahawa ketika menuruni bukit berselekoh, lori dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbalik. Mangsa yang tersepit dan terperangkap di bahagian kepala lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat cedera parah di kepala.
Menurut Azli, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian mangsa ketika memandu dan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
Superintenden Azli berkata bedah siasat untuk mengetahui punca kematian akan dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh. Kejadian ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berujar bahawa kemalangan ini berlaku di jalan selekoh, berturap, sistem laluan satu lorong dua hala, terdapat garisan tengah berkembar dan menuruni bukit, manakala keadaan cuaca cerah dan tidak hujan.
Sumber: Utusan Malaysia