“Saya sekarang nak ke tempat itu (krematorium),” kata Beh Su Lee, 59, ibu mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor, kelmarin.

Su Lee kehilangan empat anggota keluarga sekelip mata membabitkan anak perempuan berusia 35 tahun, menantu berumur 34 tahun dan dua cucu masing-masing berumur 6 dan setahun.

Dia yang menetap di Sabak Bernam berkata, tiga ahli keluarganya itu sudah dikenal pasti sejak semalam, sementara seorang lagi hari ini.

“Saya kehilangan empat keluarga. Anak perempuan, menantu lelaki dan dua cucu. Semalam dah berjaya kenal pasti tiga orang dan seorang lagi sebentar tadi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Kesemua empat mayat itu dituntut Su Lee dan ahli keluarga lain sebelum dibawa keluar menggunakan dua kenderaan Pusat Peringatan Nirvana.

Setakat jam 1.25 tengah hari, enam daripada 21 mayat sudah dituntut ahli keluarga masing-masing menjadikan baki tiga lagi mayat yang masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, pengamal media yang mula berada di perkarangan Jabatan Forensik, di sini, sejak awal pagi tadi masih menunggu kemas kini dan maklumat lanjut daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

 

Sumber : HM

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Batang Kali: Anggota APM Sukar Percaya Hampir 100 Mangsa Terlibat

Pada mulanya, sukar untuk Mohd Firdaus Abd Samad mempercayai laporan awal yang diterimanya, mengatakan hampir 100 mangsa terbabit dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini kerana jumlahnya terlalu besar.

Batang Kali: Anggota APM Sukar Percaya Hampir 100 Mangsa Terlibat

Itulah reaksi awal Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Selangor itu ketika ditanya pengalamannya sebagai seorang daripada anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden malang berkenaan.

Menurutnya, ketika bertugas di Pusat Kawalan Operasi Daerah Hulu Selangor Jumaat lepas, mereka menerima panggilan dari MERS 999 mengenai insiden itu kira-kira jam 2.30 pagi dan bertindak terus menghubungi balai bomba untuk buat pengesahan kerana tidak percaya mangsa yang terbabit mencecah 100 orang

Katanya lagi, setelah terima pengesahan dari pihak berkuasa termasuk polis, bersama Pegawai APM Hilmi Husman dan lima anggota yang lain bergegas ke tempat kejadian.

Mohd Firdaus berkata, setibanya di lokasi, selain kelibat pasukan keselamatan yang lain, situasi di lokasi kejadian sangat hiruk-pikuk dan menyedihkan dengan suara jeritan meminta bantuan daripada mangsa kedengaran hampir dari segenap arah.

Ujarnya, ketika pasukan penyelamat memulakan misi SAR, saya lihat beberapa orang mangsa bergerak keluar sendiri dari lokasi runtuhan ke arah yang lebih selamat. Ada di antara mereka menyalakan lampu suluh sebagai isyarat meminta bantuan.

Menurutnya, keadaan yang berselut mencecah paras lutut dan tanah yang licin menyukarkan pergerakan mereka memberi bantuan kepada mangsa, selain bimbang mungkin berlaku siri runtuhan yang lain.

Ujarnya, ada satu kejadian yang menyedihkan buatnya apabila seorang mangsa lelaki memberitahu isteri dan anaknya ada di dalam kereta mereka yang turut terkesan dengan runtuhan itu. Dia menjerit memberitahu supaya pasangannya terus menekan hon supaya mudah untuk kami mengesan kedudukannya.

Dalam timbunan tanah dan kereta yang berselerakan, kami terus mencari arah hon kereta mangsa. Tidak lama selepas itu kami menemui kereta yang dimaksudkan lelaki berkenaan, dengan di dalamnya memang ada isteri dan anaknya.

Katanya lagi, dalam keadaan lemah, wanita itu meminta kami menyelamatkan anaknya terlebih dahulu. Ketika sudah berjaya mencapai si anak, dia segera memeluknya. Bagaimanapun, ketika itu, terdetik dalam fikirannya bahawa kanak-kanak malang itu sebenarnya sudah meninggal dunia. Jelas dia pucat, sejuk dan tidak lagi bernadi.

Firdaus berkata, dengan pengalaman selama 17 tahun di dalam APM yang mengajarnya menjadi profesional, beliau dan pasukannya kekal tenang mengeluarkan si anak diikuti isteri mangsa selepas itu.

APM adalah antara lima agensi utama terbabit dalam misi SAR mangsa insiden tanah runtuh Batang Kali yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang kini memasuki hari ketiga.

Setakat petang semalam, 24 mangsa telah disahkan terkorban dengan sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat berdasarkan maklumat rasmi Polis Diraja Malaysia.

Tinjauan Bernama setakat 2 pagi tadi keadaan lengang dengan hanya pergerakan keluar masuk kenderaan agensi penyelamat di Pos Kawasan Pusat Kejadian (PKTK).

Operasi SAR ditamatkan pada pukul 4 pagi dan disambung semula 9 pagi.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply