Bau Busuk Selepas Ketukan Pintu | Jerantut – Bukan sahaja mendengar ketukan yang kuat tetapi juga bau yang amat busuk seperti bangkai.

Itulah yang dihadapi sebuah keluarga di Kampung Perias disini yang menyaksikan kejadian ketukan misteri mula memasuki negeri Pahang.

Habibah Sulong,57, berkata, kejadian ketukan selama lima minit kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika dia dan suami serta tiga anaknya berada di dalam rumah.

“Selepas mendengar ketukan mula-mula suami saya ingat ada budak-budak kampung yang main ketuk-ketuk di rumah.

“Tetapi selepas mengintai dan tiada orang serta terbau sesuatu yang amat busuk seperti bangkai kami menjadi terkejut dan berasa takut,”katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, selepas ketukan berakhir, suami dan anak-anaknya telah membuka pintu dan tidak melihat apa-apa kelibat dan kesan kehadiran orang.

Bagaimanapun katanya, bau yang amat busuk masih ada menyebabkan mereka berasa takut.

Dalam pada itu seorang lagi penduduk Siti Fatimah Ghazali,37, berkata, dia mengalami demam akibat kejadian ketukan misteri yang menakutkan itu.

Katanya, ketukan selama kira-kira tiga minit itu berlaku pada pukul 9 malam ketika dia sedang tidur di dalam bilik.

“Selama ini saya hanya mendengar mengenai kejadian melalui Facebook dan media dan tidak sangka saya sendiri akan mengalaminya.

“Semasa kejadian saya memang berasa amat takut dan hanya mampu terus berselimut,”katanya.

Ujarnya, kejadian itu menyebabkan dia berasa amat takut setiap kali malam apatah lagi dia tinggal seorang diri.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply