Bayi 11 Bulan Maut Jatuh Bangunan Dari Tingkat Tiga

| May 3, 2021 | 0 Comments

Bayi 11 Bulan Maut Jatuh Bangunan Dari Tingkat Tiga | Tiada ibu bapa di dunia ini yang inginkan kecederaan berlaku pada anak yang mereka kasihi dan besarkan sejak dari lahir lagi. Namun malang tidak berbau, tiada siapa juga mampu menjangka ajal setiap insan yang hidup. Begitulah yang terjadi pada sepasang suami isteri ini apabila anak mereka telah disahkan meninggal dunia.

Bayi 11 Bulan Maut Jatuh Bangunan Dari Tingkat Tiga

Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan telah dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh daripada bangunan tingkat tiga kediamannya. Bangunan kediaman itu terletak di Blok D, PPR Sri Aman, Jalan Aman Putra.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata polis menerima laporan insiden itu pada jam 6 petang dan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Jinjang kemudian menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Siasatan pihak berkuasa mendapati bahawa mangsa ketika itu sedang bermain bersama abang dan kakaknya di atas katil bahagian atas yang diletakkan bersebelahan dengan tingkap. Katil itu berada di dalam bilik tidur utama dan kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 3 petang.

Katil berkenaan dikatakan diletakkan bersebelahan dengan tingkap kerana ingin mengemas bilik itu. Siasatan turut mendapati bahawa tingkap bilik itu tidak mempunyai jeriji , manakala katil juga diletakkan tanpa sebarang halangan. Tiada sebarang unsur jenayah dalam kemalangan yang berlaku ini.

Ibu kepada bayi berkenaan bergegas membawa anaknya ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan, namun sebaik sahaja tiba di Unit Kecemasan Hospital Selayang, pegawai perubatan mengesahkan bahawa bayi berkenaan telahpun meninggal dunia. Mayat dirujuk ke Unit Forensik bagi mengenalpasti punca kematian.

Hasil laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sumber: Berita Harian

Tags: , , ,

Category: KEMALANGAN, Uncategorized

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *