Bayi Berusia 5 Bulan Antara 6 Pati Ditahan Masuk Ke Sarawak | Seorang bayi berusia lima bulan antara enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan bersama seorang tekong darat kerana memasuki Sarawak menggunakan jalan tikus semalam.

Bayi Berusia 5 Bulan Antara 6 Pati Ditahan Masuk Ke Sarawak

Kesemua mereka yang berusia lima hingga 4o tahun termasuk seorang tekong darat berusia 48 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dalam Op Benteng Covid di Kampung Rapak Jalan Lachau-Serian, Pantu, Sri Aman jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, ketika sedang menjalankan tugas rondaan pasukan operasi menahan sebuah kereta Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, selepas pihak PGA menjalankan pemeriksaan didapati seorang lelaki warga tempatan yang juga pemandu, empat lelaki dan seorang wanita bersama seorang bayi perempuan sebagai penumpang berada dalam kereta berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mereka tidak mempunyai permit pergerakan rentas daerah dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Siasatan awal juga mendapati tekong darat yang berasal dari Sibu itu diminta oleh rakannya yang dikenali Ah Liang untuk mengambil empat lelaki warga Indonesia terbabit di Kota Sentosa, Batu 7, Kuching untuk dihantar ke simpang Lachau, Sri Aman dengan dijanjikan bayaran RM800.

Jelasnya, keempat-empat lelaki berkenaan masuk ke Sarawak pada Isnin lalu melalui laluan tikus di Entikong dengan tujuan untuk mendapatkan pekerjaan di Bintulu dan ketika mereka berhenti sebentar di Kampung Rapak, Pantu, mereka terserempak dengan seorang wanita Indonesia bersama bayinya.

Wanita berkenaan kemudiannya meminta tolong untuk menghantarkannya ke Sarikei dengan tujuan untuk berjumpa dengan suaminya yang telah bekerja di sana sejak lima tahun yang lalu.

Menurutnya, wanita berkenaan mempunyai passport namun dia bersama anaknya masuk ke Kampung Rapak, Pantu melalui jalan tikus.

Suspek yang juga akan ke Sibu kemudiannya bersetuju untuk membawa wanita terbabit bersama anaknya.

Bingkok berkata, tekong darat berkenaan turut mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Tambahnya, permohonan reman di bawah Akta SOSMA akan dipohon selama 28 hari ke atas suspek dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply