Bayi Ditemui Meninggal Dunia Lemas Dalam Baldi | Tampin – Seorang bayi lelaki yang bakal genap usia setahun 11 Oktober ini disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Tampin susulan dipercayai lemas dalam baldi takungan air di dapur rumah keluarga mangsa di Desa Permai Repah di sini tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, kejadian yang menimpa bayi berkenaan disedari oleh bapa mangsa yang berusia lewat 20an ketika baharu sahaja bangun tidur pada pukul 5.30 pagi untuk bersiap ke tempat kerjanya.
Menurutnya, bapa mangsa menyedari mangsa yang merupakan anak ketiga sudah berada di dalam baldi takungan air yang diletakkan di dapur rumah.
“Baldi takungan air berkenaan merupakan stok simpanan air yang digunakan semasa daerah Tampin khususnya kediaman mereka terputus bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan.
Anuwal berkata, bapa mangsa segera membawa anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Tampin, namun sebaik tiba, anaknya telah disahkan meninggal dunia oleh doktor.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan oleh pegawai penyiasat bagi merakamkan percakapan ayah mangsa, ibu mangsa dan juga Doktor Perubatan Hospital Tunku Jaafar (HTJ) di Seremban.
“Bedah siasat telah selesai dijalankan di HTJ dan doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas.
“Buat masa ini kita mengklasifikasikan kes ini sebagai kes mati mengejut,” katanya.
Sumber : Kosmo