Bayi Lelaki Dihurung Semut, Ditinggal Di Hentian Bas | TAIPING – Seorang bayi lelaki disyaki baru dilahirkan ditinggalkan di sebuah hentian bas di Taman Kota Wira Kamunting dekat sini pada Rabu.

Lebih memilukan, bayi berkenaan diletakkan dalam sebuah kotak dengan keadaan anggota badan hanya dibaluti tuala berwarna coklat dan dihurung semut.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kejadian itu disedari seorang wanita sekitar jam 10 pagi ketika memberhentikan kereta di hentian berkenaan.

Menurutnya, semasa turun dari kereta untuk mengambil barang dari bahagian belakang, wanita itu terdengar bunyi bayi menangis sebelum menemui bayi malang tersebut.

“Bayi itu telah dibawa ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan doktor, bayi berkenaan cukup sifat dan matang dengan berat 2.62 kilogram,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Razlam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, bayi itu mengalami masalah pernafasan laju selain kurang air dalam badan disyaki akibat jangkitan.

“Keadaan bayi berkenaan stabil dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU),” katanya.

Menurut beliau, polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.

Sumber: SINAR HARIAN

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Seorang Ibu Tergamak Buang Bayi Masih Bertali Pusat

Bayi berusia kira-kira seminggu seberat dua kilogram dan masih bertali pusat ditemukan seorang lelaki di luar rumahnya di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini, petang semalam.

Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, berkata, dia baru pulang dari kerja kira-kira 6 petang sebelum terdengar bayi menangis, namun mulanya dia tidak mengendahkan kerana menyangka suara anak jiran.

“Bagaimanapun, tangisan itu semakin kuat dan isteri (Nur Azlin Rosli, 28) meminta saya melihat di luar rumah kerana bunyi suara itu sangat dekat.

Ahmad Fauzi menunjukkan lokasi bayi ditemui di Perumahan Kondo Rakyat Kuala Ibai di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Bayi lelaki yang ditemui pada petang Ahad.

Bapa saudara Ahmad Fauzi, Mohd Shaharuddin Endut, 57, berkata, dia tidak pasti bila bayi terbabit diletakkan di kawasan berkenaan.

Katanya, penduduk juga mendakwa tidak menyedari kehadiran individu membawa bayi berkenaan di tepi rumah anak saudaranya kerana laluan berkenaan kurang dilalui penduduk.

Bayi terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk urusan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply