Bekas Banduan Tikam Bapa Saudara Hingga Mati. | TANGKAK: Berang ditegur bapa saudaranya, seorang lelaki tergamak menikam warga emas berkenaan sebelum mangsa ditemukan maut di Kampung Serom 3, Sungai Mati, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun maut ditikam di beberapa bahagian anggota badan termasuk muka dan kepala menggunakan sebilah pisau.

Menurut beliau, polis yang menerima laporan kejadian pada pukul 1.19 tengah hari menahan suspek berusia 36 tahun itu selain merampas senjata yang digunakan untuk menikam mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek telah tinggal serumah sejak kecil. Semasa kejadian, berlaku pertengkaran antara mereka ekoran pemuda itu sering ditegur bapa saudaranya untuk mencari pekerjaan.

“Bagaimanapun suspek berang dengan teguran itu sehingga berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka sebelum lelaki itu kemudian bertindak agresif menikam mangsa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, sebentar tadi.

Mohd. Fadhil berkata, suspek akan dipohon reman esok dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, suspek yang baru dibebaskan dari penjara pada Januari lalu turut memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply