Bekas Ketua Bahagian MCA Ditembak Mati Oleh Jiran.

| July 23, 2021 | 0 Comments

Bekas Ketua Bahagian MCA Ditembak Mati Oleh Jiran. : MARANG: Bekas Ketua Bahagian MCA Marang maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya dalam kejadian di Wakaf Tapai, di sini pada Jumaat.

Insiden itu menyebabkan mangsa Fong Swee Fuan, 65, mengalami kecederaan di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, parah di dada akibat terkena tembakan sama.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya suspek yang berusia 56 tahun itu telah melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Semasa meninggalkan tempat kejadian suspek telah mengeluarkan amaran bahawa bersama beliau terdapat 75 lagi butir peluru dan akan membunuh seramai yang mungkin sebelum beliau membunuh diri.

“Jadi dalam tempoh itu kita telah menggerakkan segera operasi kita untuk mengesan suspek yang melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan Jeep,” katanya.

Selain itu beliau berkata suspek kemudiannya berjaya diberkas kira-kira jam 4.20 petang Jumaat di kawasan Durian Mentangau, Dungun.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah kawan rapat serta tinggal di kawasan sama.

Jelasnya motif kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan.

Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber : Astro

Tags: , , , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *