Bekas Pengetua Sekolah Dituduh Laku Amang Seksual | Seorang bekas pengetua sebuah sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan melakukan komunikasi seksual, amang seksual fizikal dan memperkosa terhadap pelajar perempuannya.

Tertuduh, Rosli Abd. Rahman, 58, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Othman.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan komunikasi secara seksual selain melakukan amang seksual fizikal dan memperkosa mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di beberapa lokasi di sekitar daerah ini dan Marang antara bulan November 2020 sehingga bulan November 2021.

Rosli berdepan lima pertuduhan Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 11(a) dan masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(c) serta Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sekiranya sabit kesalahan, Rosli boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga sehingga 30 tahun serta sebatan bagi setiap pertuduhan berkenaan.

Sumber: Kosmo

 

Artikel Lain

Pelajar Kolej Dituduh Lakukan Amang Seksual Pada Budak 11 Tahun

Melaka: Pelajar tahun akhir sebuah kolej dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Adib Hishammuddin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, dia yang sedang mengikuti jurusan elektrik didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Taman 1 Bukit Beruang antara jam 4 petang hingga 9 malam, 14 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap kanak-kanak sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan bersebelahan Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh pada 20 November lalu, kira-kira jam 12 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang mengikuti latihan di Perak itu dikatakan mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan mangsa dan semua saksi tidak boleh diganggu sehingga perbicaraan selesai.

Peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh sedang belajar dalam semester akhir.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Tarikh 11 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sumber: Harian Metro

 

Peniaga Buah Potong Didakwa Atas Tuduhan Amang Seksual

Seorang lelaki yang juga penjual buah potong didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu isterinya pada bulan April lalu.

Tertuduh yang berusia 22 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba payudara kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut, meraba payudara dan memasukkan jari ke dalam kemaluan terhadap mangsa sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di dalam daerah Melaka Tengah di sini antara Jun 2021 hingga April lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan kerana mangsa merupakan sepupu kepada isteri tertuduh namun mencadangkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan sekiranya dipertimbangkan mahkamah.

Dalam pada itu, tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri sebagai peniaga buah potong selain menjaga ibu bapa mentuanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan di mana tertuduh dan keluarganya tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 9 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply