Bekas Pensyarah Bermalam Di Kebun Tunggu Durian Gugur | Setiap kali musim durian tiba, ia seakan menjadi rutin kepada seorang bekas pensyarah, Shahruddin Othman untuk bermalam di kebun duriannya menunggu buah itu gugur.

Bekas Pensyarah Bermalam Di Kebun Tunggu Durian Gugur

Dia yang merupakan seorang profesional dalam bidang elektrik kini berusia 51 tahun akan berada di kebunnya pada setiap tahun. Kebunnya itu mempunyai sebanyak 35 pokok durian musang king, 80 pokok durian Tok Litok, D2 (Dato Nina), D24 (Sultan) dan IOI, selain rambutan dan manggis.

Dia yang tinggal di Kuala Lumpur akan pulang ke kampung pada setiap kali tibanya musim buah. Dia akan pulang pada musim buah sahaja dan membuka khemah di dalam kebunnya itu. Kebiasaannya dia akan pulang secara bersendirian, namun pada kali ini dia membawa bersama seorang anak lelakinya, Muhammad Dzul Adli, 23 tahun.

Itu sememangnya telah menjadi rutinnya, pada masa yang sama dapat menghilangkan tekanan. Duduk dalam hutan, bunyi alam semula jadi. Memang kebun itu ada penjaganya, namun dia akan tetap datang juga untuk menikmati sendiri pengalaman menunggu buah terutama durian jatuh.

Menurutnya, kebun seluas 5.2 ekar berkenaan merupakan milik kedua ibu bapanya namun sejak arwah ibunya meninggal dunia, dia mengambil alih tugas menjaga kebun berkenaan kerana bapanya, Othman Bahari, 76, juga sudah uzur.

Tambahnya lagi. ibunya pernah berpesan untuk memberikan buah-buahan yang ditanam tersebut kepada saudara mara apabila tiba musimnya. Dia sentiasa mengingati pesan arwah ibunya itu, dia akan kutip durian dan isikan dalam bekas dan beri kepada saudara mara. Selebihnya dia akan jual dan hasil jualan akan digunakan untuk menanggung kos penyelenggaraan kebun dan sebagainya.

Dia berbuat sepertimana yang dilakukan bapanya yang sentiasa memberi makan durian secara percuma kepada mereka yang mahu menikmatinya terutama ahli keluarga. Keluarganya ada di Batu Pahat, Johor kerana ayahnya berasal dari sana.

Walaupun dirinya tinggal di Kuala Lumpur, tetapi kebun ini tetap dijaga rapi oleh beberapa individu yang diupah untuk membaja, meracun dan membersihkan kebun selain memasang pagar elektrik bagi mengelak binatang perosak.

Menggunakan lampu solar, khemah khas, kerusi dan pelbagai kemudahan bagaikan berkelah di dalam hutan, ia menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna dan meninggalkan satu nostalgia untuk mereka.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply