Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa beliau nampak remaja perempuan Sindrome Down dikenali sebagai Bella baring di atas lantai tanpa dialas dengan tilam dan selimut.
Kejadian itu berlaku di bilik dobi di sebuah kondominium di Wangsa Maju.
Selain itu, beliau turut melihat terdapat kesan lecur pada leher mangsa.
Saksi merupakan Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman Suhana Zam berusia 40 tahun.
Katanya, ketika itu, beliau ingin membuang sampah di bahagian bilik dobi tersebut kira-kira pada pukul 4 pagi.
Hari itu, beliau melakukan kerja-kerja pejabat hingga 4 pagi.
Ketika hendak membuang sampah, beliau tidak membuka lampu lalu tersepak mangsa yang sedang baring di lantai bilik dobi berkenaan.
Beliau terkejut serta tergamam kerana itu kali pertama beliau melihat Bella berada dalam keadaan begitu.
Kemudian, saksi kelapan itu disoal ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.
Beliau disoal apakah tindakannya selepas tersepak Bella.
Jawabnya, dia terkaku beberapa saat memandang Bella kerana tidak percaya apa yang berada di depan matanya.
Beliau menyaksikan insiden itu ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya bersama Siti Bainun serta penghuni unit kondominium itu dengan kakak angkatnya Haiza pada 21 Mei 2021.
Beliau turut memaklumkan bahawa ada ternampak kecederaan pada leher Bella.
Dia melihat kulit mangsa yang melecur serta merah-merah.
Beliau tiba di sana sekitar tengah hari dan merancang untuk tinggal selama dua hari.
Apabila masuk ke tempat itu, beliau nampak Bella berdiri di tepi dinding menghadap meja makan.
Serta, terdapat kecederaan pada leher Bella iaitu kulitnya melecur serta merah-merah.
Ketika itu, Siti Bainun menyuruh seorang penghuni rumah yang dikenali sebagai Aida menukar pakaian Bella.
Ini kerana, Haiza memanggil Bella untuk menyertai sesi bersalaman di ruang tamu.
“Saya dengar Bainun cakap betulkan butang baju tu, bagi tinggi sikit nanti orang nampak kata saya dera pula,” katanya.
Katanya lagi, beliau ada bertanya kepada Siti Bainun mengenai kecederaan Bella.
Malah, tertuduh memaklumkan bahawa mangsa ‘main simbah-simbah air panas’ dengan adik-beradiknya.
Timbalan Pendakwa Raya menyoal siapakah adik-beradik Bella, beliau menyatakan nama Aida dan Balqis.
“Aida dan Balqis tidak termasuk Yasmin, itu yang saya tahu.
“Saya cakap pada Siti Bainun takkan kau biar budak-budak bergaduh macam itu,” katanya.
Tertuduh menjawab, dia tidak boleh buat apa kerana Aida jika sudah marah boleh hilang akal.
Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan.
Pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 13 Jun ini.
Sumber: Oh Bulan