Berang Ditegur, Suami Pukul Dan Ugut Bakar Isteri

| September 8, 2020 | 0 Comments

Berang Ditegur, Suami Pukul Dan Ugut Bakar Isteri | Padang Besar: Berang ditegur isteri kerana membuat bising di dalam rumah di pagi hari, seorang penganggur memukul wanita terbabit dengan penyapu dan mencekik anak perempuan mereka di rumah mereka di sini, 1 September lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu turut mengugut isterinya yang berusia 45 tahun untuk menyimbah minyak petrol serta membakarnya sekiranya wanita terbabit menegurnya lagi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, kejadian berlaku pada 9 pagi apabila isterinya menegur lelaki berkenaan kerana gemar membuat bising di dalam rumah.

Katanya, sebelum suspek memukul mangsa dan anaknya, berlaku pertengkaran mulut antara mereka dengan disaksikan anak perempuan.

“Suspek memukul mangsa dengan penyapu sehingga mangsa mendapat lebam dan bengkak pada lutut kiri.

“Mangsa yang bimbang akan keselamatan mereka melaporkan kejadian berkenaan dan suspek ditahan pada keesokan harinya di satu lokasi di Padang Besar,” katanya.

Saifudin Aslin berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan dipercayai sedang menagih dadah.

Beliau berkata, suspek direman sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/18A Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Sumber : HMetro

Tags: , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *