Bertanding Mewakili Parti Lawan, UMNO Gugur 4 Ahli | Kehangatan Pilihanraya Umum ke-15 semakin memuncak selepas beberapa figura besar dalam Umno tidak tersenarai sebagai calon untuk bertanding, ditambah pula mereka bertindak menjadi calon untuk parti lawan, maka Umno mengambil keputusan menggugurkan keahlian mereka. Baca selanjutnya..

Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim antara empat ahli yang digugurkan keahlian UMNO hari ini.

Setiusaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengguguran keahlian tersebut dilakukan setelah didapati mencalonkan diri bertanding mewakili parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas proses penamaan calon diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabtu lalu.

“Empat ahli berkenaan ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Padang Besar, Datuk Seri Shahidan Bin Kassim (Parlimen Arau), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) dan Datuk Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis.

“Pengguguran keahlian keempat-empat mereka ini adalah selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO yang menyebut; seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya,” katanya.

Tambah Ahmad, dengan pengguguran keahlian tersebut, jawatan mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang berkenaan.

Katanya lagi, UMNO juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

Sumber : Kosmo

Baca juga artikel berkaitan :

Zahid Hamidi Dedahkan Mengapa Shahidan Kassim Tidak Dicalonkan. | KUALA LUMPUR – Keputusan menggantikan penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan calon lain bertanding di situ dibuat selepas mengambil kira keperluan pengundi tempatan dan negeri Perlis.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat bukan kerana Shahidan tidak layak bertanding semula di kawasan berkenaan, sebaliknya masa untuknya disifatkan ‘sudah berlalu’.

“Beliau (Datuk Seri Shahidan Kassim) lebih daripada layak, tapi masanya sudah berlalu,” katanya ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu.

Katanya, ia bukan kerana Shahidan tidak layak bertanding tetapi tempoh masanya sudah tamat.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas ditanya mengenai kedudukan penyandang kerusi Parlimen Arau itu, selepas digugurkan dalam senarai calon parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO pada malam Selasa mengumumkan muka baharu iaitu Datuk Rozabil Abdul Rahman sebagai calon Parlimen Arau pada PRU-15.

Rozabil atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Ben’, merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau.

Bagaimanapun Shahidan yang digugurkan sebagai calon BN di situ mengesahkan, tetap akan bertanding atas platform parti politik yang bakal ditentukan dalam tempoh terdekat.

Selain Shahidan, antara yang tersenarai sebagai calon yang gugur ialah penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan penyandang kerusi Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran); Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Senarai calon itu diumumkan ketika satu majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di ibu negara yang dihadiri ribuan penyokong dan pucuk pimpinan parti termasuk Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada Rabu, Perikatan Nasional (PN) Perlis mengesahkan kekosongan nama calon kerusi Parlimen Arau adalah untuk memberi laluan kepada Shahidan bertanding mewakili pakatan tersebut pada PRU-15.

Share.

Leave A Reply