Bomba Bantu Kanak-Kanak 10 Tahun Tangan Tersepit Mesin Penguli Tepung | TAIPING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit apabila tangannya tersepit pada mangkuk mesin penguli tepung di Sungai Petai, Bukit Gantang, dekat sini pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata. pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.10 pagi.

Setibanya pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di lokasi mendapati mangsa, Muhammad Farish Hasyraf Abdullah, menangis kerana tangan kirinya tersepit pada mangkuk mesin berkenaan.

“Anggota JBPM menggunakan peralatan khas untuk memotong besi pada mesin penguli tepung tersebut. Masa diambil kira-kira 12 minit untuk membawa keluar tangan mangsa.

“Kami mendapati daripada segi fizikal, lengan dan pergelangan tangan kiri mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Walau bagaimanapun mangsa telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kesihatan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai menemani ibunya yang sedang bekerja telah bermain-main dengan mesin penguli tepung itu.

Katanya, akibat daripada itu tangan kiri mangsa telah tersepit pada celah mangkuk mesin penguli tepung berkenaan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Shariff Aziz itu tamat pada jam 8.58 pagi.

Sumber: Awani

Share.

Leave A Reply