Brek Rosak, Lori Rempuh Lampu Isyarat

| February 24, 2021 | 0 Comments

Brek Rosak, Lori Rempuh Lampu Isyarat | Detik cemas berlaku apabila sebuah lori pasir nyaris merempuh pengguna jalan raya lain gara-gara lori hilang kawalan. Namun ini yang terjadi pada lori berkenaan. Baca selanjutnya..

BREK LORI TIDAK BERFUNGSI

Bayan Lepas – Polis menahan seorang pemandu lori muatan pasir selepas kenderaan yang dipandunya itu nyaris merempuh pengguna jalan raya lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Ismail Hashim-Persiaran Kelicap di sini semalam.

lori kemalangan

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, pemandu berusia 26 tahun dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas lori yang dipandunya dari Bayan Mutiara dikatakan hilang kawalan.

Semasa insiden berlaku, terdapat penunggang motosikal dan kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut termasuk berada pada kedudukan yang hampir dengan laluan lori tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendaan A. Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku tidak melibatkan kenderaan awam atau kemalangan jiwa.

Menurutnya, lelaki tempatan yang mempunyai lesen memandu itu telah merempuh sebatang lampu isyarat di sebelah kiri sebelum melulu ke hadapan.

“Apabila melalui Persiaran Kelicap dari arah Bayan Mutiara, brek lori itu dikatakan tiba-tiba gagal berfungsi dengan baik mengakibatkan pemandu hilang kawalan lalu melanggar sebatang lampu isyarat yang berada di jalan tersebut sehingga menyebabkan kerosakan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kenderaan tersebut rosak pada bahagian hadapan, tepi sebelah kiri dan tayar belakang sebelah kiri pecah,” katanya di sini hari ini.

Jelas Anbalagan, pihaknya akan menjalankan ujian saringan dadah ke atas pemandu yang berasal dari Bandar Baru Teluk Kumbar itu termasuk memeriksa lori berkenaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Tambahnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, kejadian kali kedua di lokasi berkenaan menjadi tular di dalam laman sosial WhatsApp dan Facebook sejak malam tadi dengan mendapat pelbagai kecaman daripada netizen.

Pada 7 November 2019, seorang penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di persimpangan Setia Triangle di Bayan Lepas, di sini dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang.

Kemalangan tersebut berlaku selepas sebuah bas yang datang dari arah Persiaran Kelicap menuju ke Bayan Lepas hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

Sumber : Kosmo

Tags: , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *