Buat Aksi Bahaya Di Highway, Geng ‘Superwomen’ Bangga Disaman | Sekumpulan penunggang motosikal wanita yang sebelum ini tular mempamerkan aksi berbahaya di lebuh raya, kini berbangga pula apabila disaman pihak berkuasa.
Video tersebut tular menerusi TikTok memperlihatkan mereka bergelak ketawa seolah-olah berbangga telah menerima saman tersebut.
Bangga Disaman
Menerusi video itu, kelihatan beberapa penunggang wanita berada di luar pagar sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Melaka sambil menunjukkan saman yang diterima.
Salah seorang penunggang tersebut menunjukkan enam saman diterima, manakala ada juga yang menerima lima atau tiga saman termasuk satu saman.
Dalam pada itu, pengguna media sosial meninggalkan pelbagai komen selain menyifatkan, saman tersebut tidak ‘menakutkan’ mereka kerana masih boleh bergelak ketawa.
Tiada Rasa Takut
“Undang-undang Malaysia terlampau lembut sampai surat saman dekat 10 keping pun macam tak rasa apa-apa,” komen Daniel.
“Saya masa muda macam tu juga, bangga bila disaman. Bila dah tua, rasa menyesal pula,” kata Jamil.
“Yang dapat saman banyak tu, mesti hantaran tinggi nanti,” seloroh seorang pengguna meninggalkan komen.
Sebelum ini, media melaporkan, tular rakaman sekumpulan penunggang motosikal wanita yang mempamerkan aksi berbahaya sewaktu melalui sebuah lebuh raya.
Tindakan mereka itu boleh terdedah kepada kemalangan dan memberi risiko keselamatan terhadap pengguna yang lain.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Menarik Ini :
Seorang Maut, Sembilan Cedera Kemalangan 10 Motosikal Di Lekas | Seorang remaja lelaki maut manakala lima lagi parah dan empat cedera ringan dalam kemalangan 10 buah motosikal di kilometer (KM) 26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Superintendan Mat Ghani Late berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa semua penunggang terlibat bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban.
Hilang Kawalan Dan Langgar Sama Sendiri
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.
“Seorang penunggang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang parah dan empat penunggang lain mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun dikejarkan ke Hospital Tuanku laafar Seremban untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut turut dihantar ke hospital sama bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen
41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pengawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya yang dipercayai berlaku di lebuh raya tersebut.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Ini :
Lelaki Lawan Arus Di SUKE Sebabkan Kematian Penunggang Ducati Dipercayai OKU Mental | AMPANG: Seorang pemandu lori yang menunggang motosikal secara melawan arus hingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal Ducati Panigale di Lebuh Raya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) pada 14 Jun lalu, diperintah menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
Mengaku Tidak Bersalah
Majistret, Amalina Basirah Md Top, memerintahkan demikian terhadap Mudzyadaha Mohammad, 42, selepas tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa menunggang motosikal secara melawan arus yang merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, di Kilometer 22.2 Lebuhraya SUKE, pada jam 1.10 tengah hari 14 Jun lalu.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah peruntukan akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM20,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Tertuduh Merupakan Orang Kurang Upaya (OKU)
“Disebabkan tertuduh mengaku tidak bersalah, dan permohonan peguam untuk tertuduh menjalani ujian pskiatri, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” kata Annur.
Peguam dari Yayasan Bahagian Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail memohon jaminan rendah kerana tertuduh adalah Orang Kurang Upaya (OKU) mental serta menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
“Fakta ini disahkan menerusi surat rujukan yang dikeluarkan oleh seorang doktor di Hospital Kajang. Ini membuktikan bahawa semasa kejadian tertuduh tidak dapat berfikir dengan waras mengakibatkan berlakunya perlanggaran berlawanan,” katanya.
Menurut Izleen, tertuduh mengalami masalah itu kerana beliau kehilangan kerja sebagai pemandu kereta api sehingga menyebabkannya mengalami tekanan.
“Akibat daripada kesempitan wang dan faktor ekonomi yang meruncing, tertuduh mengalami tekanan yang bertambah pada setiap hari kerana beliau hanya memandu lori yang berpendapatan RM2,200 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak manakala isterinya tidak bekerja.
Perlu Buat Pemeriksaan Mental
“Sehubungan itu, saya mohon mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental,” kata Izleen.
Amalina Basirah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 10 Ogos untuk sebutan kes.
“Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia,” katanya.
Pada 14 Jun lalu, media melaporkan, seorang penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu menyebabkan mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 meter.
Selain itu, motosikal yang ditunggang mangsa juga terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Sungai Klang.
Berikutan kemalangan itu, suspek yang menunggang motosikal secara lawan arus mengakibatkan kemalangan maut di SUKE sudah tampil membuat laporan pada 16 Jun lalu.
Sumber : BH