Pemuda Buat Laporan Palsu Hilang Kereta, Demi Dapatkan Wang Tuntutan Insurans Untuk Berkahwin | Desakan kewangan dan keinginan yang melampau ingin mendirikan rumah tangga bersama dengan pilihan hati, seorang lelaki sanggup membuat laporan palsu berkenaan kehilangan keretanya.
Dia berindak membuat laporan palsu itu dengan harapan akan memperoleh wang insurans atas kehilangan keretanya. Dia juga telah membuat perancangan untuk menggunakan wang insurans yang diterima disebabkan oleh kehilangan kereta itu bagi membolehkannya melangsungkan perkahwinan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata, lelaki berusia 25 tahun itu membuat laporan polis berhubung kehilangan sebuah kereta miliknya jenis Subaru Forester di tempat meletak kereta di Lukut Prima, Port Dickson pada jam 9.30 malam 20 April lalu.
Berdasarkan soal siasat awal mendapati lelaki itu telah meletakkan kenderaannya di kawasan itu pada jam 8 malam untuk pergi makan bersama dengan rakannya. Namun sebaik sahaja dia kembali ke tempat letak kenderaan itu, dia mendapati bahawa keretanya itu telah tiada. Dia terus bergegas ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.
Setelah disoal siasat secara lebih lanjut oleh pihak polis pada isnin lalu, lelaki itu akhirnya mengaku bahawa dia sengaja membuat laporan palsu berkenaan kehilangan keretanya dan mendapati kereta itu telah disimpan di suatu lokasi dengan tujuan untuk memperoleh wang insurans.
Pihak polis telah berjaya menahan lelaki berkenaan pada jam 1.30 petang Isnin lalu oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Port Dickson dan JSJ Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. Mereka juga berjaya menemukkan kereta yang disorokkan lelaki itu di belakang bangunan sebuah pasar raya di Lukut.
Aidi Sham berkata, lelaki yang bekerja sebagai penganalisis data itu kini masih ditahan di Lokap Polis Port Dickson sehingga esok. Lelaki ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pihak polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang masih berdegil membuat laporan polis palsu yang menyusahkan banyak pihak.
Sumber: Berita Harian