Bukan Saja Tampar Anak, Bapa Dipenjara Enam Bulan ‘Kantoi’ Ada Senjata Tiruan

| April 12, 2020 | 0 Comments

Bukan Saja Tampar Anak, Bapa Dipenjara Enam Bulan ‘Kantoi’ Ada Senjata Tiruan | Lelaki ini ditahan kerana menampar dua anaknya namun bukan itu saja apabila pihak polis turut menemui senjata tiruan.

Seorang bapa yang menampar dua anak lelakinya dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 41 tahun mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak sulungnya berusia 17 tahun di sebuah rumah di Manir, Kuala Terengganu pada 1 petang, 3 Mac lalu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anak bongsunya berusia empat tahun di alamat sama, jam 2 petang pada 26 Mac lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki senjata tiruan iaitu selaras senapang angin di alamat sama, jam 9 malam pada 3 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 berdepan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula tarikh dia ditahan iaitu pada 3 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.

Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan menampar anak sulungnya selepas remaja terbabit enggan membuat semakan di bank sama ada wang bantuan sudah diterima atau belum.

Tertuduh dikatakan menampar anak bongsunya yang menjatuhkan telefon bimbit di atas lantai di ruang tamu.

Sumber : Harian Metro

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *