Bun0h Ibu Sakit Strok, Pasangan Suami Isteri Dikatakan Tidak Bercampur Dgn Penduduk | ARAU – Seorang warga emas yang menghidap penyakit strok maut selepas dipercayai dipukul oleh anak dan menantunya dalam kejadian yang berlaku di Taman Tambun Tulang, pada 1 Jun.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 5.30 pagi menerusi pegawai perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar yang memaklumkan terdapat pesakit meninggal dunia disyaki dipukul.
Katanya, mangsa yang berusia 74 tahun itu pada mulanya telah dihantar ke unit kecemasan hospital berkenaan pada pukul 4.10 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri walaupun pasukan perubatan telah memberi rawatan awal.
“Pemeriksaan dilakukan pasukan perubatan pada bahagian luaran badan mangsa mendapati kesan lebam di kedua-dua mata, dahi, telinga kanan dan sedikit kesan luka pada jari kaki kiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, hasil siasatan awal mendapati anak perempuan mangsa berusia 34 tahun turut mengaku ada memukul warga emas berkenaan dengan menggunakan tangan di bahagian muka dan kepala, semalam.
Beliau berkata, menantu mangsa juga disyaki terlibat dalam kejadian itu berdasarkan kepada keterangan yang meragukan.
“Kejadian berpunca daripada pertengkaran di mana anak perempuan mangsa dikatakan tidak tahan dan terlampau tertekan dengan ragam warga emas itu yang mengidap strok pada bahagian badan sebelah kiri.
“Kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah membunuh warga emas itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Mohsin berkata, mayat mangsa turut menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah dan mendapati terdapat kecederaan pada tubuhnya dengan kesan lebam di bahagian kedua-dua belah mata, dahi, ubun kepala dan lidah sisi kiri akibat tekanan.
Tambahnya, mangsa juga mengalami patah tulang rusuk kiri akibat tekanan dan punca kematian diklasifikasikan sebagai ‘pending laboratory analysis’ sementara menunggu keputusan makmal.
“Siasatan di lokasi kejadian turut dijalankan dengan dibantu pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan turut membuat beberapa rampasan disyaki mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk setempat di taman itu yang ingin dikenali sebagai Kak Leha, berkata, pasangan suami isteri itu telah menetap di rumah berkenaan bersama ibu mertua mereka sejak lebih setahun lalu.
Katanya, mereka juga jarang bergaul bersama komuniti setempat dan hanya bertegur sapa jika terserempak sekitar taman berkenaan.
“Pasangan itu mempunyai tiga orang anak malah mereka juga menjaga ibunya yang sedang sakit,” katanya.
Wanita suspek kes bunuh ibu dan suaminya disifatkan sebagai seorang pendiam dan tidak banyak bercampur dengan penduduk sekitar taman perumahan yang didiami mereka.
Menurut seorang penduduk berdekatan rumah mangsa dikenali sebagai Raziah, 50-an berkata, kedua suspek tinggal bersama seorang warga emas bersama tiga anak perempuan mereka.
“Si suami dikatakan sedang menyambung pelajaran peringkat kedoktoran falsafah di sebuah institusi pengajian tinggi di Arau manakala isterinya hanya bekerja sebagai suri rumah dan menjaga ibu serta tiga anak perempuannya.
“Saya hanya tahu ibu mertua suspek lelaki kurang sihat dan sakit terlantar. Dia (suspek lelaki) pula hanya sekali sekala menegur jirannya jika terserempak ketika berada di luar rumah dan banyak menghabiskan masa di kediamannya.
Kata Raziah, isterinya (suspek wanita) pula sangat pendiam dan tidak pernah bertegur sapa dengan kami yang tinggal di sekeliling kawasan rumahnya,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Sumber: Kosmo